FAM tak fikir pemain bakal ambil SPM ke?
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) baru sahaja membuat undian Piala Presiden dan Piala Belia untuk musim 2022 dan ia telah pun mencetuskan kritkan daripada peminat.
Apa yang membuat peminat tidak berpuas hati dengan undian yang berlangsung semalam bukan keputusan undian tetapi tarikh kejohanan itu yang dikatakan tidak memikir situasi pemain yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Berdasarkan kenyataan dari FAM, jadual perlawanan Piala Presiden dan Piala Belia pada musim ini akan berlangsung dari 23/24 Februari hingga 11 September, manakala peperiksaan SPM pula akan bermula pada 2 hingga 20 Mac depan.
Dianggarkan 200 ke 300 orang pemain akan terlibat dengan peperiksaan SPM ini, jadi ia akan memberi impak kepada pemain yang terlibat kerana mereka kekurangan masa untuk membuat persiapan peperiksaan berikutan turut perlu berlatih dan mengharungi perlawanan.
Peminat memahami pihak FAM mahu selaraskan jadual Piala Presiden dan Piala Belia dengan jadual Liga Malaysia, tetapi mereka perlu mengambil kira situasi pemain-pemain muda ini kerana rata-rata pemain adalah dari kalangan pelajar.
Pemain akan berada dalam situasi serba salah iaitu mahu fokus sepenuhnya pada bola sepak dan korbankan masa ulang kaji atau sebaliknya. Ini adalah satu keputusan yang sukar yang perlu dibuat oleh pemain terlibat kerana ia membabitkan masa depan mereka.
Sampai bila setiap keputusan yang dibuat FAM akan dipertikai? Adakah setiap keputusan yang dibuat sudah benar-benar diteliti demi kebaikan semua atau ‘ikut sedap’ sahaja? Hanya FAM sahaja yang boleh jawab.
Terdahulu saingan Piala Presiden dan Piala Belia telah ‘digantung’ selama dua tahun susulan pandemik COVID-19.
Kembalinya saingan kedua-dua saingan ini akan membuka peluang kepada lebih ramai pemain muda untuk menyinar dan memikat pasukan di Liga Malaysia.
Untuk saingan musim ini sebanyak 20 pasukan bertanding dan akan dibahagi kepada tiga kumpulan iaitu Kumpula A (Zon Utara) dianggotai tujuh pasukan dari Zon Utara dan Timur, Kumpulan B (Zon Selatan) dengan tujuh pasukan dari Zon Selatan, Timur dan Tengah manakala Kumpulan C (Zon Tengah) dengan enam pasukan dari Zon Tengah, Timur dan Borneo.
Dalam pada itu, undian bagi menentukan susunan kedudukan pasukan bagi perlawanan peringkat kalah bagi akan dibuat secara kalah mati; Suku Akhir, Separuh Akhir dan Final akan dijalankan secara home dan away bermula 24 Julai hingga 11 September 2022.