Nadia Roslan, Farahiyah Rizwan tekad mahu bawa Kelana United juarai LWN 2023
Pemain wanita Kelana United FC, Nadia Roslan dan Farahiyah Rizwan menyasarkan untuk menjadi juara Liga Wanita Nasional dalam penampilan sulung pasukan itu dalam kejohanan tersebut.
Bagi Nadia, beliau akan cuba melakukan yang terbaik untuk mengulangi pencapaian meraih anugerah kasut emas dalam kejohanan Liga Super Wanita FAS dalam LWN nanti.
“Untuk jaringkan 10 gol itu agak sukar sebab sekarang banyak saingan jadi saya akan cuba untuk lakukan demi pasukan dan bawa Kelana United jadi juara.
Setakat ini persiapan memang baik, saya mahu memberikan 100 peratus buat pasukan dan juga jurulatih dalam kejohanan itu nanti,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Katanya, pengalaman beraksi di Sukan SEA tempoh hari memberikan beliau keyakinan tambahan untuk membantu pasukan.
Dalam pada itu Farahiyah pula merasakan bahawa saingan dalam pasukan itu bakal memberi satu kelebihan kerana semua pemain akan memberikan segala-galanya untuk merebut tempat.
“Ketika sesi latihan kami kena bertarung untuk tempat kerana semua pemain bagus dan masing-masing mahukan tempat dalam kesebelasan utama.
Persiapan pun kami sudah lakukan dari awal, dan setakat ini semuanya berjalan lancar.”
Beliau yang sebelum ini berasal dari sukan futsal mengakui masih banyak yang perlu diperbaiki olehnya untuk menjadi pemain bola sepak yang lebih baik.
Tambahnya, beliau menimba pengalaman daripada pemain-pemain senior untuk belajar dengan lebih lagi.