Tomislav Steinbruckner tak puas hati dengan beberapa keputusan pengadil

1,172

Ketua jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner kurang berpuas hati dengan beberapa keputusan pengadil pada perlawanan menentang PDRM FC selepas pasukannya hanya sekadar seri tanpa jaringan.

Steinbruckner berkata demikian kerana yakin pasukannya sepatutnya diberikan penalti apabila pemainnya dijatuhkan dalam kotak penalti.


“Saya secara peribadi mahu TV menayangkan highlight percubaan-percubaan yang dilakukan kerana kita dapat lihat mereka akan ulang sebanyak lima kali untuk gol tapi untuk situasi bahaya mereka tidak tunjuk.

Saya mahu melihat ulang tayang situasi itu kerana merasakan ia adalah penalti dan jika itu bukan penalti, saya tak tahu nak cakap apa lagi,”

katanya.

Beliau pada masa sama turut mempersoalkan keputusan pengadil yang hanya memberikan masa tambahan selama tiga minit sahaja.

“Anda rasa tiga minit sahaja? Kita boleh lihat kedua-dua pasukan melakukan tiga pertukaran pemain dan itu sahaja sudah tiga minit. Bagaimanapun pula dengan situasi yang mana perlawanan terpaksa dihentikan kerana pemain perlukan rawatan? Saya rasa masa tambahan yang diberikan tidak cukup.”

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu mahu membawa masuk beberapa pemain baru lagi pada jendela perpindahan kedua nanti kerana mahu memperkuatkan pasukan untuk baki saingan liga.

Selain Liga Super dan Piala Malaysia, Terengganu juga perlu memastikan pasukan berada pada tahap terbaik sebelum menjelang kejohanan Piala AFC.

“Saya tidak mahu seorang sahaja pemain baru tapi mahu pemain yang dapat bantu perkuatkan pasukan.”

Beliau berkata perbincangan dengan beberapa pemain sudah pun berlangsung tapi belum dapat memuktamadkan lagi kerana pemain yang dimahukan masih mempunyai kontrak bersama kelab mereka.

Selepas hanya mempunyai pulang satu mata di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), skuad Sang Penyu kini berada di kedudukan ke enam Liga Super selepas 17 perlawanan.