Bersyukur peroleh 1 mata berharga tapi tak puas hati dengan ‘last touch’ – Eddy Gapil
Penolong ketua jurulatih PDRM FC, Eddy Gapil @ Edwin bersyukur apabila pasukannya berjaya mencuri satu mata berharga apabila mereka mengikat Terengganu FC tanpa jaringan dalam perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam tadi.
Mengakui pasukannya memperlihatkan peningkatan positif, namun Eddy masih tidak berpuas hati dengan sentuhan terakhir pemain tumpul di hadapan gawang.
“Syukur kepada Tuhan atas keputusan malam ini. Kredit kepada semua pemain atas kerja keras mereka, jadi apa yang kita rancang dan berlatih dari minggu lepas ada nampak peningkatan.
Tapi saya masih belum berpuas hati dengan sentuhan terakhir itu. Kita akui yang pasukan kita agak lemah dari segi penyudah dan jika kita lihat statistik 16 gol 21 bolos jadi memang ketara kita kekurangan di bahagian serangan,”
katanya.
Eddy diberi tanggungjawab untuk mengemudi PDRM ketika ini selepas pihak pengurusan mengambil keputusan untuk melepaskan ketua jurulatih Azzmi Aziz bulan lalu.
Dibawah kendalian Eddy dalam tiga perlawanan, skuad The Cops berjaya menang satu, seri satu dan kalah sekali.
Menurutnya, tiada banyak perubahan yang dilakukan terutamanya dari segi corak permainan dan taktikal kerana beliau hanya meneruskan dari ketua jurulatih terdahulu.
“Saya hanya meneruskan apa yang kita dah buat dari awal musim dan apa yang kita cuba buat adalah untuk menambah baik ball possession dan apa yang kita nampak ada peningkatan dari segi ball possession.”
Dalam pada itu, Eddy juga mengakui terkejut juga apabila mendapat khabar angin bahawa penyerang muda dari Perak FC, Hadi Fayyadh dikatakan akan menyertai pasukannya secara pinjaman.
Beliau bagaimanapun menyambut baik khabar angin itu kerana merasakan kehadiran penyerang itu akan membantu pasukan terutamanya di bahagian serangan untuk lebih tajam lagi apabila dihadapan gawang lawan.