Habib Haroon yakin Terengganu FC mampu pergi jauh pada Piala AFC nanti
Ketua pasukan Terengganu FC, Habib Haroon menyuarakan keyakinan terhadap kemampuan pasukannya untuk melangkah lebih jauh dalam kejohanan Piala AFC 2023 yang akan berlangsung pada September ini.
“Ya saya dapat rasakan yang kita mampu pergi jauh. Kita akan bertemu dengan pasukan dari negara lain, tapi Liga Malaysia adalah sebuah liga yang berkualiti berbanding negara lain jadi saya yakin kita boleh melakukannya,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai perlawanan Liga Super menentang PDRM FC malam tadi yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan, Habib mengakui pasukan lawan cukup berdisiplin sehingga menyukarkan untuk mereka melakukan serangan untuk menjaringkan gol.
“PDRM adalah sebuah pasukan yang bagus dan cukup berdisiplin. Walaupun mereka tidak mempunyai pemain bintang dalam pasukan, tapi mereka bermain sebagai satu unit dan mereka mempunyai barisan pertahanan yang bagus.”
Biarpun terpaksa berpuas hati dengan satu mata, namun beliau tidak terlalu bimbang dengan prestasi tak konsisten pasukan kerana skuad Sang Penyu pada musim ini adalah sebuah pasukan baru.
Selain pemain baru, Terengganu juga dikendalikan oleh ketua jurulatih baru iaitu Tomislav Steinbruckner.
Habib pada masa sama turut mengulas mengenai prestasi pemain import baru dari Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov yang dikatakan perlukan lebih masa untuk mengadaptasi dengan bola sepak di Malaysia.
“Pemain baru ini bagus, tapi Liga Malaysia seperti yang saya katakan sebentar tadi liga di sini lebih sengit.
Setiap pemain adalah pemain baik tetapi untuk beraksi baik di saingan liga domestik, mereka perlukan masa untuk menyesuaikan diri kerana setiap pasukan di Liga Super cukup kuat kerana pasukan tercorot mampu tewaskan pasukan di atas liga.”