Penyokong KL City tak dapat penuhkan SSI, jadi tak salah sebilangan kuota diberikan kepada JDT
Tiket bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala FA 2023 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan KL City FC di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 22 Julai itu akhirnya telah dibuka untuk jualan semalam untuk penyokong kedua-dua pasukan.
Namun begitu, sambutan untuk tiket dalam kalangan penyokong kedua-dua pasukan adalah jauh berbeza, di mana kuota yang diperuntukkan untuk JDT telah habis dijual tidak sampai satu jam.
Jumlah tiket yang diperuntukkan kepada penyokong KL City pula tidak mendapat sambutan yang menggalakkan apabila pasukan itu menyatakan bahawa pihaknya telah menyerahkan semula sebahagian tiket kepada Malaysian Football League (MFL).
MFL mengesahkan perkara itu dan memberitahu bahawa tiket yang diserahkan semula oleh KL City itu akan dijual kepada JDT seperti yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pasukan.
Tindakan itu dilihat sebagai satu perkara yang wajar dilakukan bagi memastikan kehangatan perlawanan akhir Piala FA berada di tahap yang tinggi.
Bagi perlawanan akhir piala yang berprestij seperti Piala FA itu, sudah tentu suasan ‘full house’ sudah dijangka dan amat dinanti-nantikan.
Jika kuota tiket KL City yang tidak berjaya dijual itu hanya ‘diperam’ begitu sahaja, sudah pasti banyak kelompongan di dalam SSI ketika perlawanan itu nanti dan ia pastinya satu kerugian yang besar buat penganjur, MFL.
Jadi tidak salah sebenarnya untuk pihak MFL membuka jualan baki tiket KL City yang tidak dapat dijual itu kepada penyokong JDT.
Selain itu, berdasarkan jumlah kehadiran penyokong dalam saingan liga musim ini serta beberapa musim terdahulu, harus diakui bahawa jumlah penyokong JDT memang melebihi penyokong kelab lain apatah lagi KL City.
Justeru, untuk memastikan SSI menjadi ‘full house’ pada perlawanan akhir Piala FA nanti, ia adalah satu tindakan yang harus dilakukan.