Juara Copa America 2016, Juan Antonio Pizzi bakal bimbing Bahrain pada Piala Asia 2023
Pasukan bola sepak kebangsaan Bahrain akhirnya mengumumkan pelantikan ketua jurulatih baharu dari Argentina-Sepanyol, Juan Antonio Pizzi yang mengambil alih jawatan daripada Helio Sousa.
Jurulatih berusia 55 tahun itu akan membimbing Bahrain pada saingan Piala Asia, di mana mereka diundi dalam Kumpulan E bersama-sama Korea Selatan, Jordan dan juga Malaysia.
Pelantikan Juan Antonio Pizzi boleh dikatakan sebagai satu penambahbaikan oleh Bahrain berdasarkan rekodnya membimbing pasukan-pasukan terdahulu.
Sebelum dilantik membimbing Bahrain, beliau terlebih dahulu melatih kelab UAE, Al Wasl, dan pernah melatih beberapa kelab dan pasukan kebangsaan lain termasuk Colon Santa, Universidad de San Martin, Santiago Morning, Universidad Católica, Rosario, San Lorenzo, Valencia, Leon, Chile, Arab Saudi dan Racing Club.
Antara kejayaannya sebagai jurulatih adalah membawa Chile menjulang Copa America pada tahun 2016, selain menjuarai Liga Chile dan Argentina, masing-masing pada tahun 2010 dan 2013.
Piala Asia 2023 bakal menjadi penampilan keduanya dalam kejohanan itu, di mana beliau sebelum ini pernah melatih Arab Saudi pada kempen Piala Asia 2019, namun terkandas di pusingan 16 terakhir kepada finalis edisi itu iaitu Jepun.
Beliau juga pernah membimbing Arab Saudi dalam kejohanan bola sepak terbesar dunia iaitu Piala Dunia pada tahun 2018 di mana pasukannya tersingkir pada peringkat kumpulan.
Dari segi pengalaman, tidak dapat dinafikan bahawa beliau mampu meningkatkan lagi tahap pasukan Bahrain walaupun kurang setengah tahun lagi Piala Asia 2023 bakal membuka tirai.
Sebagai pemain, beliau juga boleh dianggap sebagai pemain yang berjaya, pernah mewakili beberapa pasukan besar seperti Barcelona, Porto dan Valencia, serta pernah mewakili Sepanyol dalam saingan EURO dan Piala Dunia.
Sepanjang karier sebagai pemain, Juan Antonia Pizzi pernah merangkul beberapa kejuaraan seperti La Liga, Copa Del Rey dan UEFA Super Cup, serta meraih anugerah penjaring terbanyak La Liga iaitu Pichichi.
Dengan pelantikan jurulatih baharu ini, pasukan Bahrain pasti akan tampil berbeza pada saingan Piala Asia 2023, serta dengan gaya permainan yang lain ketika Malaysia bertemu mereka pada saingan Piala Asia 2023 tahun lalu.