Menjelang Sukan Asia 2023, prestasi kontinjen negara di Kejohanan Olahraga Asia 2023 membimbangkan

238

Kejohanan Olahraga Asia 2023 yang berlangsung di Stadium Nasional Suphacahailasai, Thailand telah melabuhkan tirainya dan prestasi kontinjen negara masih lagi berada pada keadaan yang agak membimbangkan selepas menamatkan acara di tangga ke 17 secara keseluruhan.

Hal ini adalah kerana kontinjen negara hanya sekadar membawa pulang satu pingat gangsa sahaja menerusi acara lempar cakera yang disumbangkan oleh Irfan Shamsuddin.


Pelari pecut sensasi negara iaitu Azeem Fahmi pula yang berhasrat untuk naik podium di dalam acara akhir 100 meter pula sekadar menamatkan larian di tempat kelima, begitu juga Khairul Hafiz Jantan yang terkandas di peringkat separuh akhir.

Pencapaian dari negara jiran yang lain seperti Singapura dan Filipina dengan masing-masing berjaya mengumpul dua pingat emas diikuti dengan Thailand dengan satu pungutan pingat emas merupakan satu perkembangan yang positif buat negara-negara tersebut.

Malah, yang lebih mengagumkan adalah atlet Singapura iaitu Shanti Pereira yang berjaya memecahkan rekod kejohanan di dalam acara 200 meter wanita, atlet dari Filipina iaitu Ernest John Obiena yang turut memecahkan rekod kejohanan dalam acara lompat galah lelaki serta kuartet 4×100 Thailand yang turut memecahkan rekod kejohanan.

Prestasi kurang memberangsangkan kontingen negara di kejohanan edisi tahun ini mencetuskan tanda tanya segelintir peminat sukan olahraga berkenaan masa hadapan para atlet yang juga akan bertandang mewakili Malaysia pada September nanti di Kejohanan Sukan Asia Hangzhou, China.

Keresahan berkenaan persiapan kontinjen negara perlu diberikan perhatian oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk persediaan yang lebih rapi dapat diteruskan agar mampu memberikan saingan serta hasil yang positif sebelum menjelang kejohanan kompetitif dunia yang berprestij pada masa akan datang.

Pastinya KOM tidak mahu wakil negara pulang dengan tangan kosong lagi seperti yang berlaku pada edisi 2018 di Palembang.

Langkah yang produktif perlu diambil segera oleh KOM untuk mencari resipi yang terbaik sebagai persediaan kepada kontinjen olahraga negara agar mampu memberikan persembahan terbaik pada Sukan Asia September nanti.