Tak patut Saddil Ramdani digelar pengkhianat Indonesia hanya kerana nyanyi lagu Negaraku

552

Agak kasar hentaman netizen Indonesia terhadap Saddil Ramdani yang dituduh sebagai pengkhianat bangsa selepas tular khabar angin mengatakan beliau sudah dirisik oleh Malaysia dan menjadi pemain naturalisasi negara ini.

Dalam laman YouTube negara itu heboh apabila salah satu akaun yang berkongsikan berita-berita atlet bola sepak kebangsaan Indonesia mengeluarkan pernyataan bahawa Saddil sudah menjadi pemain naturalisasi kebangsaan Malaysia selain dianggap sebagai pengkhianat bangsa mereka.


Sebelum ini tular sebuah video yang menunjukkan pemain berusia 24 tahun itu menyanyikan lagu kebangsaan Malaysia, Negaraku semasa perlawanan Sabah FC menentang skuad Sri Pahang FC yang berpihak kepada skuad Borneo tersebut dengan skor 4-0.

Hal ini dilihat bersangkut paut dengan isu sebelum ini apabila Saddil bengang dengan sikap segelintir netizen Indonesia yang mengkritik dan membandingkan kualiti permainannya di Sabah dan skuad  kebangsaan negaranya.

Dalam video yang berdurasi 2 minit 55 saat itu juga mengatakan bahawa Saadil sememangnya layak untuk bermain di skuad kebangsaan Malaysia disebabkan sudah lama menetap dan bermain di sini.

Meskipun hal ini mungkin akan menguntungkan negara Malaysia kerana berpeluang memiliki pemain yang berkredibiliti tinggi, namun Saddil tidak seharusnya diperlakukan sebegini rupa oleh peminat serta penyokong pasukan kebangsaan mereka sendiri.

Mereka seharusnya lebih bangga kerana Saddil bertahan untuk bermain di Liga Super, dan menampilkan aksi cemerlang, yang mana tidak ramai pemain-pemain Indonesia yang kekal lama di sini.

Tindakannya menyanyikan lagu Negaraku juga dilihat lebih kepada satu penghormatan buat negara tempatnya mencari rezeki, dan juga yang menaikkan lagi kariernya sebagai seorang pemain bola sepak.

Seperti sebelum ini, Saddil yang kecewa dengan sikap netizen Indonesia turut membalas komen-komen yang ditinggalkan di laman Instagramnya yang mana dirinya sedang berusaha segigih yang mungkin untuk beradaptasi dengan Liga Super dan para peminat seharusnya lebih memahami serta menyokong perjuangan pemain-pemain mereka di luar negara.

Saddil yang sudah masuk tahun keempatnya berada di Malaysia selepas berkelana ke Sri Pahang pada tahun 2019 dan kembali ke Sabah FC pada tahun 2021 sehingga sekarang jelas mempamerkan prestasi mengagumkan.

Pemain sayap kanan skuad Garuda itu juga telah memberitahu bahawa perkara ini tidak masuk akal dan tidak akan terjadi kerana beliau bangga menjadi rakyat Indonesia.

Oleh yang demikian, penyokong serta peminat bola sepak setiap negara perlu menyokong perjuangan pemain tempatan mereka yang berkelana di luar negara demi menaikkan lagi mutu permainan mereka sekaligus bermain dengan lebih cemerlang bersama skuad negara.