Pemain wanita Malaysia perlu jadikan Vietnam dan Filipina di Piala Dunia Wanita 2023 sebagai sumber motivasi
Debaran Kejohanan Piala Dunia Wanita FIFA 2023 semakin terasa kerana bakal bermula beberapa hari sahaja lagi.
Pemain-pemain daripada seluruh negara yang akan menyertai pasti bakal memberikan persembahan yang terbaik mereka bagi mengharumkan nama negara, begitu juga dengan ‘ubi muda’ dari setiap negara yang mahu menempah nama pada kejohanan terbesar itu.
Pasukan dari Asia juga tidak terkecuali daripada menyertai kejohanan paling berprestij bagi kategori wanita dalam bola sepak ini seperti Australia, Korea Selatan, China, Japan dan juga dua wakil dari Asia Tenggara iaitu Vietnam dan Filipina.
Walaupun masih belum bermula tetapi terdapat beberapa prospek pemain muda dari Asia Tenggara seperti Nguyen Thi Thanh Nha yang berusia 22 tahun dari Vietnam dan Isabella Flanigan yang berusia 18 tahun dari Filipina yang sudah mula diberikan perhatian oleh dunia sebagai prospek yang bakal bersinar semasa berlangsungnya Piala Dunia Wanita 2023 kelak.
Ini merupakan perkembangan positif yang perlu dijadikan motivasi oleh para pemain muda Malaysia dalam pada masa yang sama diambil untuk dijadikan sebagai sumber inspirasi untuk terus maju jaya mengembangkan bakat justeru membawa nama Malaysia setanding dengan negara luar.
Kejayaan kedua-dua negara itu menembusi kejohanan berprestij tinggi seperti Piala Dunia ini menunjukkan Malaysia masih lagi jauh ketinggalan di belakang tetapi tidak pula terlalu terlambat untuk terus maju dan berjaya pada masa akan datang.
Pemain muda wanita Malaysia juga perlu bijak mengambil setiap peluang yang terhidang untuk memajukan diri serta terus melangkah jauh dalam sukan bola sepak.
Setiap cabaran yang datang juga perlu diambil kira sebagai sebuah proses untuk memajukan diri dan pasukan bola sepak wanita Malaysia.
Ketika ini, di bawah kendalian ketua jurulatih Soleen Al-Zou’bi, perkembangan bola sepak wanita di negara ini kelihatan positif dan sedang berada di landasan yang betul
Diharapkan pada satu hari nanti, nama pemain daripada Malaysia pula yang disebut-sebut sebagai pemain yang harus dijadikan tumpuan pada kejohanan Piala Dunia Wanita.