Kami terpaksa buat sendiri gelanggang kecil untuk berlatih, harap MSN dan KBS bantu – Farwizah Aina & Nur Auni Maisarah

1,409

Pemain bola tampar pantai kebangsaan, Farwizah Aina dan Nur Auni Maisarah mengakui kecewa kerana usaha mereka dalam membawa nama negara ke peringkat antarabangsa tidak dipandang oleh pihak berwajib.

Kedua-dua pemain itu baru sahaja membawa Malaysia layak ke Kejohanan Dunia Bawah 21 selepas menewaskan Hong Kong 2-0 dalam aksi kalah mati Kejohanan Asia di Thailand, melengkapkan kuota lima pasukan yang layak melalui kuota benua termasuklah Australia, China, Kazakhstan dan Vietnam.


Menurut kedua-dua pemain itu, mereka sehingga terpaksa membina gelanggang mini di rumah untuk berlatih kerana tiada bantuan yang diterima daripada pihak berwajib.

“Dulu kami bancuh sendiri simen untuk buat gelanggang kecil di rumah menggunakan wang sumbangan ibu bapa serta guru di sekolah, ketika itu ada lagi beberapa individu lain yang bantu kami.

Kemudian baru Presiden Persatuan Bola Tampar Malaysia beri bantuan kepada kami, dan apabila menjuarai kejohanan Terbuka Malaysia, YB Norlela (ADUN Penanti), PPD dan JPN Pulau Pinang juga, tetapi Persatuan Bola Tampar Pulau Pinang tiada beri bantuan langsung,”

kata mereka kepada Harimau Malaya.

Tambah mereka, buat masa ini mereka juga tidak menerima bantuan daripada pihak Majlis Sukan Negara (MSN) serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk kejohanan dunia tersebut.

Kedua-duanya berharap MSN dan KBS akan memberikan sokongan sewajarnya untuk membantu mereka menjelang kejohanan itu.

Bercerita ketika peringkat awal penglibatan, kedua-duanya mengakui terpaksa menggunakan kasut murah yang dibeli daripada kedai barangan terpakai atau ‘bundle’.

“Masa kami tiada wang kami hanya beli kasut dari ‘bundle‘ yang berharga seringgit dua, ketika masuk pertandingan kami lihat perserta lain pakai kasut cantik rasa teringin.

Jadi kami bermain bersungguh-sungguh supaya kami juga mampu dapat beli kasut seperti mereka atau lebih lagi.”

Kedua-dua pemain itu berharap dengan sokongan serta kepercayaan yang diberikan oleh lebih banyak pihak, mereka mampu meletakkan nama Malaysia di tahap yang tinggi.