KL City FC bakal jalani latihan pra musim di Cadiz CF, Sepanyol
Kelab KL City FC telah mengorak langkah kanan apabila baru sahaja menandatangani perjanjian kolaborasi bersama kelab di La Liga, Cadiz CF baru-baru ini yang menyaksikan kedua-dua pasukan akan mendapat manfaat bersama.
Menariknya, hasil dari kolaborasi ini KL City akan menjalani latihan pra musim di Sepanyol pada musim hadapan di pusat latihan Cadiz CF.
Bukan sahaja latihan, skuad The City Boys juga akan mengharungi beberapa perlawanan persahabatan dengan kelab utama di La Liga.
Pemegang saham terbesar KL City, Azri Azerai juga memberitahu bahawa kolaborasi bersama kelab dari Sepanyol ini adalah yang pertama dan akan membuka jalan lebih banyak buat kelab untuk terus jalin kolaborasi di seluruh dunia untuk meningkatkan nilai jenama kelab itu.
Tidak dapat dinafikan, walaupun KL City merupakan salah sebuah kelab yang mempunyai bajet kecil dalam saingan Liga Super, mereka telah mempamerkan aksi yang cukup cemerlang di bawah pimpinan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Stanley Bernard dan ketua jurulatih Bojan Hodak.
Kelab dari ibu kota itu juga terus memperlihatkan kehebatan mereka terutamanya dalam kejohanan piala apabila berjaya mara ke tiga perlawanan akhir dalam tiga musim berturut-turut iaitu Piala Malaysia 2021 (menjadi juara), Piala AFC (naib juara) dan terbaru Piala FA (bakal menentang JDT pada 22 Julai ini).
Jika kolaborasi antara kedua-dua kelab ini berjaya, tidak mustahil untuk melihat pemain dari KL City beraksi di Sepanyol satu hari nanti.
Kelab-kelab lain di Malaysia boleh menjadikan KL City sebagai contoh terbaik untuk melebarkan sayap kelab masing-masing supaya bukan sahaja dapat memajukan kelab sendiri tetapi juga menaikkan nilai bola sepak Malaysia.
Mungkin kelab-kelab Liga Super boleh jalin kerjasama dengan kelab lain di La Liga kerana mereka mempunyai delegasi di Malaysia, sekaligus memudahkan urusan sebarang kolaborasi.