Nur Shadrina pasang impian sarung jersi Malayan Tigress

372

Pemain cilik Kelana United FC, Nur Shadrina pasang impian untuk sarung jersi pasukan kebangsaan Malayan Tigress satu hari nanti dan mahu bantu bola sepak wanita ke tahap lebih tinggi.

Nur Shadrina merupakan pemain paling muda menyertai pasukan wanita Kelana United FC iaitu baru berusia 13 tahun apabila bakat ditemui dan diserap masuk ke dalam skuad utama pasukan itu.


“Saya mahu jadi seorang pemain bola sepak profesional dan mahu sarung jersi pasukan kebangsaan serta bawa bola sepak Malaysia ke tahap lebih tinggi,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Walaupun usia muda dan bertubuh kecil, namun beliau tiada masalah atau kekok untuk menjalani latihan bersama rakan sepasukan yang bukan sahaja lebih berusia dan besar, tetapi juga ramai dalam kalangan pemain Malayan Tigress.

Beliau pada masa sama turut berharap agar lebih ramai pemain wanita terutamanya seusia dengannya untuk terus bekerja keras dan tidak cepat putus asa sekiranya mahu bermain di tahap tertinggi.

Dalam pada itu, jurulatih Fairuz Montana merupakan individu yang bertanggungjawab mengesan bakat pemain cilik itu sebelum diserap ke dalam pasukan.

Menurut Fairuz, beliau pada mulanya bimbang pemain itu tidak dapat mengadaptasi sekiranya diserap ke dalam skuad senior tetapi selepas melihat pemain itu beraksi dalam satu sesi latihan, beliau terkejut melihat corak permainan pemain cilik itu matang dari usianya.

“Arwah ayah angkat saya ada beritahu anak buahnya yang main bola, jadi saya minta pemain itu datang untuk sertai sesi latihan untuk timba pengalaman. Tapi bila diberitahu pemain itu baru berusia 13 tahun, saya bimbang juga nak bagi beliau sertai skuad senior.

Tapi bila pemain itu turun padang, kami barisan kejurulatihan berasa kagum dengan corak permainannya yang matang dari usianya. Ketua jurulatih Razman dan beberapa jurulatih lain juga tanya, di mana saya jumpa pemain ini.

Alhamdulillah kita ada satu lagi bakat baru walaupun tubuhnya kecil, tapi permainannya cukup matang dan berani buat apa yang diarahkan oleh jurulatih,”

ujarnya.

Tambah Fairuz lagi, pengendali skuad wanita itu juga memberitahunya bahawa Nur Shadrina adalah seorang pemain yang bijak kerana cepat belajar.

Sementara itu, beliau juga tidak menolak kemungkinan akan melepaskan pemain itu untuk berhijrah ke pasukan yang lebih baik jika mendapat tawaran.

“Mungkin selepas ini banyak pihak akan mula beri perhatian kepada beliau dan jika kelab besar di luar sana ingin mengambil pemain kami kerana bagi pihak Kelana United kita akan berasa bangga dapat mengeluarkan produk terutamanya pemain bola sepak wanita.”