Edgar Eder Baldsso yakin Selangor MAC mampu ke final MPFL

201

Ketua jurulatih Selangor MAC, Edgar Eder Baldsso menyuarakan keyakinan terhadap pasukannya mampu mara ke perlawanan akhir Malaysia Premier Futsal League (MPFL) 2023 jika mereka bermain dengan corak permainan sebenar mereka.

Menurut Baldsso, beliau akan menerapkan corak sama seperti sebelum ini dan tidak akan melakukan perubahan dari segi taktikal apabila menentang Pahang Rangers pada perlawanan separuh akhir MPFL nanti.


“Saya mahu pasukan memulakan perlawanan dengan kuat kerana perlawanan pertama sangat penting sebelum kita ke perlawanan kedua di tempat sendiri nanti.

Kita perlu yakin dan tidak mengubah taktikal perlawanan kerana jika kita bermain dengan corak permainan sebenar, saya yakin kita mampu menang,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Terdahulu, pada suku akhir kedua yang berlangsung baru-baru ini Selangor MAC berjaya menewaskan 5-1 untuk menamatkan perlawanan dengan agregat 9-2.

Dalam pada itu, Baldsso mengakui kekuatan pasukan lawan Pahang Rangers yang masih belum pernah tewas dalam saingan musim ini, namun beliau mempunyai perancangan tersendiri untuk cuba menyekat kemaraan pasukan lawan.

“Saya perlu buat perancangan rapi menjelang perlawanan menentang Pahang Rangers yang mana saya sudah ada perancangan untuk kedua-dua perlawanan separuh akhir.

Pasukan lawan kuat kerana mereka belum pernah kalah lagi oleh itu perlawanan akan menjadi sengit dengan kedua-dua pasukan mempunyai peluang sama rata 50%-50%.”

Sementara itu, beliau juga tiada masalah sekiranya penjaring terbanyak pasukan Ali Ebrahimi dirantai oleh pemain lawan kerana baginya kesemua pemainnya mempunyai kualiti untuk menjaringkan gol.