Sasaran kami adalah untuk jadi juara MPFL 2023 – Fariq Mohammad

195

Ketua pasukan Selangor MAC, Fariq Mohammad mengakui bakal berdepan laluan sukar untuk mara ke perlawanan akhir Malaysia Premier Futsal League (MPFL) 2023, namun dengan prestasi semasa pasukan beliau yakin mereka mampu menjulang trofi itu.

“Pasukan Pahang Rangers adalah sebuah pasukan yang bagus kerana mereka dibarisi oleh pemain yang sudah beberapa tahun bersama dan tahun ini tidak dapat dinafikan mereka adalah pasukan yang cukup bagus.

Sasaran saya adalah untuk menjadi juara dan rakan sepasukan juga sudah bersiap sedia dari segi mental dan fizikal,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dalam perlawanan suku akhir kedua menentang Terengganu baru-baru ini, Selangor MAC berjaya menang 9-2 secara agregat.


Fariq pada masa sama juga berkata gabungan pemain lama dan baru dalam pasukan akan menjanjikan aksi menarik akan dipamerkan sekaligus memberi saingan sengit buat pasukan lawan.

“Saya pasti ia akan menjadi perlawanan yang sengit kerana rata-rata pemain Pahang Rangers mempunyai keserasian yang cukup baik kerana sudah empat tahun bersama dan mempunyai kualiti.

Tapi gabungan pemain lama dan baru Selangor MAC ini akan memberikan saingan sengit sekaligus menjadikan perlawanan lebih berkualiti.”

Beliau juga mempunyai cara untuk membakar semangat dan motivasi bagi memastikan setiap pemain turun beraksi dengan mentaliti mahukan kemenangan.