Kejayaan jadi penjaring terbanyak adalah hasil kerjasama rakan sepasukan – Ali Ebrahimi

208

Pemain import Selangor MAC, Ali Ebrahimi tidak melihat statusnya sebagai penjaring terbanyak untuk saingan Malaysia Premier Futsal League (MFPL) 2023 ketika ini adalah kerana kehebatannya, sebaliknya ia adalah hasil kerjasama rakan sepasukan.

Menjelang perlawanan separuh akhir MPFL, Ali kini menduduki tangga pertama penjaring terbanyak dengan 21 gol sepanjang saingan liga berlangsung dan beliau dijangka akan terus meledak pada perlawanan menentang Pahang Rangers hujung minggu ini.


“Jadi penjaring terbanyak bukan kerana saya seorang sahaja tetapi ia daripada usaha dan kerjasama rakan sepasukan.

Saya bermain di posisi pivot jadi saya mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol jadi gol jaringan adalah daripada rakan sepasukan.

Tapi saya gembira dapat jaringkan 21 gol dan akan berusaha lebih lagi untuk jaringkan gol pada perlawanan akan datang,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Terdahulu, Selangor MAC berjaya menempah tiket ke separuh akhir MPFL selepas menewaskan Terengganu 9-2 secara agregat pada perlawanan suku akhir yang berlangsung hujung minggu lalu.

Dalam pada itu, Ali juga mengakui kualiti saingan MPFL pada musim ini semakin meningkat dan lebih sukar berbanding musim lalu.

“Saya lihat video dari musim lepas dan musim ini saingan liga sangat bagus kerana pasukan mula membawa masuk ketua jurulatih dan pemain import jadi musim ini lebih sukar, namun misi kami tetap sama iaitu untuk merangkul kejuaraan liga.”