Ayuh undi Soh Chin Ann sebagai pemain pertahanan terbaik sepanjang zaman AFC Asian Cup Dream XI

204

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) telah pun membuka undian kepada peminat bola sepak di rantau Asia untuk mengundi pemain terbaik sepanjang zaman AFC Asian Cup Dream XI.

Apa yang menariknya adalah lagenda bola sepak tanah air, Datuk Soh Chin Ann menjadi antara salah seorang calon dari 42 pemain yang tersenarai yang mana beliau tercalon dalam kategori Pemain Pertahanan Terbaik Sepanjang Zaman.


Soh Chin Ann juga merupakan seorang daripada dua pemain dari Asia Tenggara yang tersenarai dalam Dream XI.

Biarpun ia baru sekadar pencalonan, namun kemasukan nama beliau dalam senarai 42 pemain cukup membanggakan negara sekaligus menjadi satu penghormatan buat bola sepak Malaysia.

Dalam senarai pemain pertahanan, Soh Chin Ann akan bersaing dengan tujuh nama besar lain seperti Mehdi Mahdavikia dari Iran, Hong Myung-Bo dari Korea Selatan, Saleh Al Nuaimah dari Arab Saudi, Fan Zhiyi dan Zheng Zhi dari China, Yuji Nakazawa dan Yuto Nagatomo dari Jepun dan melengkapkan lapan pilihan adalah Bassam Al Rawi dari Qatar.

Bekas pemain kelahiran Alor Gajah, Melaka itu merupakan pemegang rekod paling banyak penampilan dengan 195 kaps bersama Malaysia serta mempunyai rekod yang cemerlang bersama Harimau Malaya terutamanya ketika kelayakkan Sukan Olimpik 1980 dimana beliau berjaya membawa pasukan Malaysia layak secara merit ke Sukan Olimpik Moscow 1980.

Penghargaan ini semoga dapat memberi inspirasi kepada semua pemain Malaysia yang pernah mewakili pasukan kebangsaan untuk terus melangkah ke peringkat yang lebih jauh dalam mengharumkan nama negara pada masa akan datang.

Kempen yang dibuka kepada seluruh peminat bola sepak ini adalah bagi merancakkan lagi kejohanan Piala Asia 2023 yang akan berlangsung di Qatar pada awal Januari tahun depan.

Peminat berpeluang untuk mengundi pemain kegemaran mereka untuk dipilih sebagai pemain terbaik sepanjang zaman.

Para peminat di Malaysia boleh mula membuat undian serta memberikan sokongan kepada Soh Chin Ann melalui laman sesawang di bawah dan berpeluang untuk pergi ke Piala Asia Qatar 2023.

 Dream XI Landing – ENG (the-afc.com)