LZJ berehat sebulan pun masih tidak cukup untuk kembali ke prestasi optimumnya

179

Berehat selama sebulan daripada dunia badminton sebelum ini mungkin menjadi punca kekalahan sulung Lee Zii Jia di bawah bimbingan Wong Tat Meng dalam kejohanan Terbuka Korea semalam.

Zii Jia yang dalam usaha untuk kembali meraih prestasi optimumnya tampak malang apabila gagal melepasi halangan pertama iaitu Ng Ka Long dengan perlawanan mengambil masa 56 minit dalam pertempuran sebanyak tiga set.


Kekalahan LZJ kali ini sememangnya suatu yang pahit untuk ditelan apabila beliau baru sahaja kembali semula dengan semangat yang baru dalam mengejar slot ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Namun ia bukan sesuatu yang mengejutkan kerana prestasi serta kaedah latihan LZJ sudah pasti dianalisis awal oleh jurulatih baru perseorangan lelaki Hong Kong yang juga bekas jurulatih perseorangan negara sebelum ini iaitu Wong Choong Hann yang telah mengambil alih tempat kosong ditinggalkan Wong Tat Meng.

Ng Ka Long yang pernah dilatih oleh Wong Tat Meng sudah pasti merasa kesulitan dalam menentang LZJ yang kini dijaga rapi oleh bekas jurulatihnya sendiri sehingga menyebabkan mereka terpaksa beraksi sehingga ke rubber game.

LZJ yang kini berada di tangga ke-17 ranking BWF, tampak masih mencari-cari rentaknya di dalam gelanggang selepas sebulan berehat diri daripada sebarang aktiviti yang melibatkan badminton.

Selain itu, adaptasi dengan method dan filosofi jurulatih barunya Wong Tat Meng juga menjadi faktor yang mempengaruhi corak permainan dan mentaliti LZJ ketika beraksi di dalam gelanggang selain pertukaran jurulatih ini juga masih lagi baru dan perlukan sedikit lagi masa untuk mereka mencari keserasian.

Sebelum ini LZJ turut memberitahu ingin bersama-sama Wong Tat Meng ke Olimpik Paris bagi menggegar pentas sukan terbesar dunia itu sekaligus membawa nama Malaysia di mata dunia.

Pemain perseorangan nombor satu negara itu perlu kembali kuat dan tidak harus putus harapan dalam mengorak langkah mengejar matlamatnya.

Di samping itu, kekalahan kali ini diharapkan tidak menjejaskan prestasinya selain menjadi api yang membakar lagi semangat dalam diri beliau untuk terus fokus dan meraih prestasi optimum menjelang Olimpik tahun hadapan.

Untuk rekod, LZJ bakal beraksi di Daihatsu Terbuka Jepun hujung bulan ini dan pusingan pertama beliau dijadualkan bertemu pemain tuan rumah yang kini berada di tangga ke-11 dunia iaitu, Kenta Nishimoto.