Bulan Julai cukup mendukacitakan buat semua peminat sukan tanah air
Bulan Julai 2023 merupakan bulan yang mendukacitakan buat semua rakyat Malaysia apabila industri sukan negara kehilangan nama-nama besar yang pernah mengharumkan nama negara di persada dunia serta memberi sumbangan dalam pembanggunan sukan tanah air.
Pada Ahad tanggal 16 Julai 2023 seluruh Malaysia telah dikejutkan perginya seorang bekas lagenda olahragawan negara iaitu Allahyarham Hanapiah Nasir yang menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 65 tahun di Hospital Kuala Lumpur jam 6.00 petang akibat penyakit Leukimia.
Yang di-Pertuan Agung Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan isteri Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menzahirkan ucapan takziah menerusi laman Facebook milik Istana Negara kepada keluarga untuk terus tabah menghadapi dugaan beliau di atas pemergian bekas jaguh olahraga negara itu.
Dua hari selepas itu, seluruh dunia bola sepak pula diselubungi rasa pilu selepas mendapat berita perginya mendiang B. Sathianathan selepas hampir setahun bertarung melawan penyakit kanser.
Mendiang pernah menjadi jurulatih membimbing pasukan kebangsaan dan juga kelab telah banyak menyumbangkan jasa sehingga pernah diangkat sebagai jurulatih terbaik dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan sebanyak tiga kali pada tahun 2010, 2012 dan 2017.
Pada hari yang sama juga, Malaysia dikejutkan sekali lagi dengan pemergian atlet veteran pada era 80-an iaitu Aliudin Jumaat yang masih aktif sehingga kini pada usia 68 tahun dalam bidang sukan decathlon.
Aliudin Jumaat yang pernah menjadi pemegang rekod kebangsaan dalam acara lompat bergalah menghembuskan nafas terakhir ketika sedang menjalani latihan bagi menghadapi Kejohanan Olahraga Mastera Sabah di Stadium Likas.
Hari ini sekali lagi dunia sukan tanah air berdukacita selepas perginya R.Govindaraju akibat komplikasi jangkitan paru-paru.
Mendiang yang pergi pada usia 71 tahun yang pernah berkhidmat selama sembilan tahun sebagai bekas Setiausaha Persatuan Olahraga Perak (PAA) dan 15 tahun menjawat jawatan Setiausaha Jawatankuasa Teknikal Olahraga Malaysia (MAF).
Berbakti selama tiga dekad untuk melihat kemajuan sukan negara dalam sukan olahraga khasnya telah merupakan satu sumbangan yang cukup besar.
Kami di Harimau Malaya mengucapkan takziah di atas pemergian lagenda-lagenda yang telah banyak menyumbang jasa dan bakti.
Biar jasa jadi kenangan!