Skuad KL City FC kini berada pada tahap terbaik menjelang final Piala FA – Stanley Bernard
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Stanley Bernard yakin bahawa pasukannya kini berada pada tahap terbaik menjelang perlawanan akhir Piala FA menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) esok.
Menurut Stanley, perlawanan menentang JDT adalah satu perlawanan psikologi dan ketua jurulatih Bojan Hodak adalah pakar dalam perlawanan seperti ini.
“Perlawanan akhir menentang JDT adalah perlawanan psikologi, jadi saya rasa bila datang dekat Bojan Hodak beliau sentiasa bersedia dari segi psikologi dan oleh sebab itu juga beliau merupakan antara salah seorang jurulatih terbaik di negara ini.
Antara perkara yang terbaik kita ada adalah sepanjang musim ketiadaan Kevin, Akram dan Zhafri yang tercedera dan penggantungan, tapi untuk ketika ini kita berada pada tahap terbaik di mana hampir kesemua pemain yang ada dalam minda dalam Bojan Hodak sedia untuk bermain dan mereka juga nak bermain.
Dalam konteks conditioning saya rasa inilah yang terbaik dalam tujuh bulan yang kita ada,”
katanya.
Beliau juga berkata bahawa rutin latihan yang dikendalikan oleh pengendali dari Croatia itu juga tidak berubah tetapi lebih baik.
Skuad The City Boys akan bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI) esok untuk menentang Harimau Selatan untuk perhitungan akhir Piala FA yang mana untuk KL City mereka sedang mengejar slot ke Piala AFC musim depan.
Dalam pada itu, Stanley juga nyata teruja dengan kolaborasi terbaru mereka apabila menandatangani perjanjian bersama kelab di La Liga, Cadiz CF baru-baru yang akan menyaksikan kedua-dua pasukan akan mendapat manfaat bersama.
“KL City mempunyai struktur yang besar dan saya merasakan kita mempunyai peluang terbaik adalah kita mempunyai satu jalinan yang mana ia membuka pintu di mana jika kita mempunyai pemain yang perlu dilihat oleh pihak Cadiz, kita akan panggil mereka untuk lihat dari segi aspek teknikal jika ada peluang untuk bermain di sana. Jadi ada peluang kerana pintu sudah dibuka.”
Selain itu, beliau juga melihat kolaborasi ini akan turut memberi KL City kelebihan terutamanya pengambilan pemain import baru berkualiti tanpa perlu menelan bajet yang besar.
Ini kerana menerusi kolaborasi bersama Cadiz, mereka akan berpeluang untuk menilai pemain-pemain di kelab tersebut untuk dibawa masuk sekaligus dapat memperkuatkan pasukan tanpa perlu berbelanja besar.