Kami tak ‘goyang’ dengan puluhan ribu penyokong tuan rumah – Paulo Josue
Ketua pasukan KL City FC, Paulo Josue memberitahu bahawa beliau dan rakan sepasukan tiada masalah untuk bermain di hadapan puluhan ribu penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan akhir Piala FA esok malam.
Menurut Josue, ini bukan kali pertama mereka perlu bermain di hadapan puluhan ribu penyokong pasukan lawan kerana pada separuh akhir sebelum ini juga mereka bermain dihadapan lebih 30,000 penyokong Terengganu FC, namun mereka berjaya menang.
“Kami bermain dengan Terengganu dihadapan lebih 30,000 penyokong yang mana kami bukan sahaja tidak bolos, tapi berjaya menang menerusi sepakan penalti, jadi tiada masalah untuk kami turun beraksi di SSI dengan puluhan ribu penyokong lawan.
Kami akan pergi ke sana untuk enjoy perlawanan esok dan cuba rangkul kejuaraan esok,”
katanya.
Ini adalah perlawanan akhir ketiga Josue dalam tempoh tiga musim berturut-turut selepas berjaya menang Piala Malaysia 2021, naib juara Piala AFC dan kini perlawanan akhir Piala FA.
Bagaimanapun perlawanan akhir tahun ini sedikit berbeza buat dirinya kerana dua perlawanan akhir terdahulu beliau bermain sebagai pemain import, tapi perlawanan akhir esok beliau akan turun sebagai pemain tempatan.
“Kita lihatlah nanti adakah rasa kejayaan sebagai pemain tempatan lebih bermakna atau sama. Saya berasa cukup bangga menjadi sebahagian daripada keluarga Malaysia terutamanya bersama KL City.”
Dalam pada itu, Josue mengakui perlawanan menentang JDT esok akan menjadi perlawanan yang cukup sukar kerana pasukan lawan yang sebelum ini sememangnya sudah hebat kini lebih hebat dari musim lalu.
Beliau bagaimanapun berkata pasukannya sudah bersedia untuk turun beraksi dan akan memberikan saingan sengit untuk merealisasikan impian untuk julang Piala FA.