K. Devan berdepan tugas berat apabila hanya punya dua pemain import untuk baki saingan Liga Super
Ketika kelab-kelab lain sedang sibuk membuat perubahan pasukan untuk memperkuatkan bagi menghadapi baki saingan Liga Super musim ini, Negeri Sembilan FC pula sebaliknya apabila tidak akan membawa masuk pemain baru pada jendela perpindahan kedua.
Lebih parah lagi, beberapa pemain yang meninggalkan kelab itu tidak akan digantikan dan ini membuatkan ketua jurulatih K. Devan berada dalam situasi yang cukup sukar apabila terpaksa mengharungi baki saingan dengan pemain sedia ada sahaja.
Terdahulu, K. Devan sudah pun bergelut untuk bersaing di awal musim apabila hanya menggunakan empat pemain import sahaja, tapi kini kerjanya semakin semakin sukar apabila dua lagi pemain importnya iaitu Safuwan Baharuddin dan Levy Madinda meninggalkan pasukan itu.
Selepas Safwan Baharuddin mengambil keputusan untuk kembali semula ke pasukan Selangor FC, kini Levy Mandinda yang dipinjamkan dari kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) pula meninggalkan skuad Negeri Sembilan untuk ke Liga 1 Indonesia.
Mereka kini hanya mempunyai dua pemain import sahaja iaitu Herold Goulon dan Casagrande sekaligus membuatkan mereka kini berada dalam situasi sukar apabila beberapa tonggak turut mengalami kecederaan.
K. Devan dalam sidang media selepas tamat perlawanan menentang KL City FC baru-baru ini juga mengesahkan bahawa pihak pengurusan tidak akan membawa masuk pemain baru dek kekangan kewangan yang dihadapi pasukan.
Walaupun tampak malang, namun beliau boleh gunakan peluang ini untuk beri lebih banyak peluang kepada pemain tempatan terutamanya pemain muda untuk mendapat minit permainan.
Mungkin mereka boleh ikut jejak langkah PJ City FC sebelum ini yang hanya menggunakan pemain tempatan sahaja dengan slogan #Yakinilokal.
Biarpun dibarisi 100% pemain tempatan, PJ City bukan sahaja dilabel sebagai pasukan ‘giants killer’ tetapi juga melahirkan ramai pemain kebangsaan.
Sudah tiba masanya pihak pengurusan mempertimbangkan konsep tersebut yang bukan sahaja dapat kurangkan bajet pasukan, tapi beri minit permainan kepada pemain tempatan yang kini sukar mendapat tempat dek kehadiran ramai pemain import.