LMS Tigress FC ditubuhkan bagi beri peluang kepada pemain dari utara

424

Pengurus pasukan LMS Tigress FC, Ahmad Feisal Bin Dato’ Seri Mohamed Zulkifli memberitahu penubuhan kelab itu adalah untuk memberi ruang dan peluang kepada pemain-pemain dari sekitar utara.

“Tujuan saya buat pasukan ini bukan untuk diri saya sebaliknya saya mahu memberi peluang kepada budak-budak Taiping, Perak dan sekitar utara kerana jika anda melihat pada pasukan saya, kami mempunyai pemain dari Pulau Pinang.

Saya mahu beri mereka peluang kerana selama ini mereka tidak mendapat peluang seperti ini, jadi biar kami jadi sebagai platform untuk budak mencuba.

Kamu datang, jujur dengan kami, kami beri platform tanpa minta apa-apa, cuma komitmen sahaja,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Ahmad Feisal mengakui apa yang dilakukannya tidak menguntungkan tetapi beliau berkata ia sesuatu yang perlu dilakukan.


Malah beliau sendiri memberitahu bahawa Menteri Belia dan Sukan (KBS), YB Hannah Yeoh mengakui bahawa bola sepak wanita adalah sukan yang paling kurang mendapat dana.

Dalam pada itu, beliau juga berharap usaha yang dilakukan akan mendapat sokongan daripada pelbagai pihak demi memajukan bola sepak wanita.

Dalam pada itu, Ahmad Feisal turut mendedahkan bahawa pertemuannya dengan ketua jurulatih pasukan kebangsaan wanita, Soleen Al-Zoubi menyaksikan mereka bersetuju bahawa pemain wanita perlukan minit permainan jika mahu tingkatkan kualiti bola sepak wanita.

“Pertemuan saya dengan coach Soleen pada tahun lalu bersetuju yang pemain wanita perlukan minit permainan. Ini kerana pemain lelaki mempunyai banyak peluang kerana ada Liga M5, Liga M4, Liga M3 dan Liga Super, manakala untuk wanita tiada.

Jadi, selain dari LWN kita perlu wujudkan liga bawah seperti B-17, B-21. Kita sudah berada di landasan tepat, cuma perlukan sedikit penambahbaikan sahaja.”

Beliau juga berharap agar persatuan bola sepak di negeri-negeri lain akan mengambil inisiatif untuk mewujudkan liga sendiri kerana ia dapat mencungkil bakat-bakat baru.

Sementara itu, LWN musim ini akan menyaksikan pertandingan daripada format Zon kepada liga kebangsaan yang dijalankan dua pusingan ‘home & away’ yang akan bermula pada hujung Julai ini hingga November 2023.