Menghidap kanser paru-paru tahap 4 tak halang Abdul Rahman untuk turun beraksi
Pemain bola sepak pasukan kebangsaan, Abdul Rahman tidak menjadikan kanser paru-paru tahap 4 yang dihadapinya sebagai penghalang untuk dirinya turun beraksi dalam kejohanan Artalive Challenge Cup Amputee Football.
Abdul Rahman memberitahu beliau tetap mahu turun bermain biarpun tidak digalakkan oleh doktornya berikutan baru sahaja beberapa hari menjalani pembedahan.
“Sepatutnya saya bermain sejak hari pertama kejohanan berlangsung tapi disebabkan masalah kesihatan saya menghidap kanser paru-paru tahap 4 menyebabkan saya terpaksa menjalani latihan, jadi saya tak sempat sertai latihan penuh kerana terpaksa jalani pembedahan.
Disebabkan passion saya dalam bola sepak dari dahulu lagi ketika saya masih normal dan selepas tiada kaki pun saya tetap juga mahu main bola sepak. Dengan keadaan saya yang sedang dalam proses pemulihan, jiwa saya tetap nak main bola,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Beliau diturunkan pada perlawanan akhir pagi tadi menentang Indonesia yang menyaksikan skuad negara tewas tipis.
Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata beliau tidak akan meninggalkan dunia bola sepak walaupun perlu menjalani rawatan kanser dan akan terus beraksi selagi beliau mampu.
Beliau pada masa sama turut menyeru sesiapa yang mengalami nasib sepertinya untuk tidak cepat berputus asa, sebaliknya jadikan bola sepak sebagai pembakar semangat.
“Sesiapa yang bernasib seperti saya jangan putus asa kerana bola sepak kudung boleh berikan kita semangat untuk main bola lagi dan untuk kita teruskan kehidupan seperti biasa walaupun sudah kudung.
Jika ada penyakit sekali pun seperti saya, saya tetap tabah kerana yakin Allah akan beri hikmah pada hujungnya, insyaAllah.”