Bola sepak kudung di Malaysia bagus, sayang jika mereka tak dapat sokongan dari pihak kerajaan – Dicky Dwie Haryo Saputro
Ketua jurulatih bola sepak kudung pasukan kebangsaan Indonesia, Dicky Dwie Haryo Saputro bangga dengan persembahan pasukannya apabila mereka berjaya menewaskan pasukan Malaysia pada perlawanan akhir Artalive Challenge Cup Amputee Football pagi tadi.
“Permainan pasukan saya cukup bagus untuk pemain-pemain kami timba pengalaman. Kejohanan ini juga dapat meningkatkan kualiti bola sepak kudung terutamanya di Asia Tenggara,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Dicky Dwie juga gembira melihat perkembangan bola sepak kudung di Malaysia yang dilihat semakin memperlihatkan peningkatan yang bagus.
Beliau juga berharap bola sepak kudung ini akan terus berkembang dan mendapat sokongan daripada pelbagai pihak.
“Pasukan bola sepak kudung Malaysia bagus tapi mereka perlu terus mengadakan perlawanan untuk tingkatkan lagi prestasi pasukan.
Kami melihat pemain bola sepak kudung Malaysia semakin banyak, jadi agak sayang jika mereka tidak dapat sokongan daripada pihak kerajaan.”
Tambahnya lagi, pihak kerajaan perlu memberi sokongan dari pelbagai aspek termasuk dana dan pembangunan akar umbi untuk bola sepak kudung.
Dalam pada itu, beliau berkata pasukan yang dibawa kali ini adalah gabungan pemain berpengalaman yang beraksi di Piala Dunia baru-baru ini serta pemain baru.
Tambahnya lagi, beliau sentiasa mahu pasukannya sentiasa beraksi kerana pengalaman beraksi sangat penting dalam usaha untuk meningkatkan kualiti permainan mereka.
Beliau juga memberitahu bahawa di Indonesia, mereka mempunyai kejohanan bola sepak kudung setiap tahun yang mana ia disertai lebih 10 pasukan.
Sementara itu, Dicky Dwie berkata selepas ini mereka akan membuat persiapan untuk Piala Asia pula dan sasaran utama mereka adalah untuk layak ke Piala Dunia lagi.