Kejohanan ini beri pemain pengalaman bermain dengan pasukan Piala Dunia – Sunny Shalesh
Ketua jurulatih pasukan bola sepak kudung kebangsaan, Sunny Shalesh gembira dengan aksi yang dipamerkan oleh pasukannya walaupun mereka tewas pada perlawanan akhir Artalive Challenge Cup Amputee Football menentang Indonesia pagi tadi.
Menurut Sunny, objektif utama mereka pada kejohanan ini sudah tercapai apabila pemain-pemainnya menimba pengalaman cukup berharga apabila dapat bermain dengan pasukan Indonesia yang pernah bermain di Piala Dunia.
“Misi tercapai sebab bagi saya dari awal adalah kita perlu anjurkan kejohanan-kejohanan seperti ini kerana kita dapat belajar dari pasukan telah membangun.
Indonesia telah maju ke depan apabila pernah bermain di Piala Dunia dan mereka tahu cara permainan bola sepak kudung baru, jadi kita jemput mereka datang sini untuk bermain dengan mereka.
Saya tidak lihat banyak perbezaan, cuma dari segi kecergasaan dan kelajuan mereka ada kelebihan,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Tambahnya lagi, beliau juga tidak menekankan soal keputusan perlawanan pada kejohanan kali ini sebaliknya misi utamanya adalah untuk memberi kesedaran, ruang dan peluang kepada insan-insan kudung untuk keluar bersukan.
“Misi utama saya adalah memberi kesedaran dan pulang kepada insan-insan kudung untuk keluar bersukan dan pilih bola sepak.
Apa yang berlaku hari ini ialah pemain-pemain yang mewakili Malaysia adalah pemain generasi keempat sekaligus memperlihatkan kita mempunyai ramai pemain pelapis.”
Dalam pada itu, pada kejohanan kali ini juga menyaksikan Sunny memberi peluang kepada pemainnya iaitu Abdul Rahman untuk turun beraksi walaupun pemain itu baru sahaja menjalani pembedahan dek kanser tahap 4 yang dihadapinya.
“Saya berbincang dengan pasukan dan membuat keputusan untuk menunaikan hajatnya menyarung jersi pasukan kebangsaan walaupun beraksi untuk tempoh lima minit sahaja.”