Saya tidaklah mengejar gol, saya hanya ingin membantu pasukan – Darren Lok
Penyerang kebangsaan, Darren Lok yang kini kembali mendapat tempatnya di Sabah FC selepas dibelenggu kecederaan masih belum berpuas hati dengan prestasinya dan mahu bantu pasukan untuk kembali konsisten.
Demi membantu pasukannya itu, Darren meletak tepi sasaran untuk mengejar jumlah jaringan gol sebaliknya fokusnya adalah untuk bantu pasukan berada di kelompok atas Liga Super.
“Saya tidaklah mengejar gol, saya hanya ingin membantu pasukan dan kami perlu fokus kembali bagi mendapatkan keputusan yang baik kerana sekarang kita punya prestasi tidak konsisten sekejap menang dan kemudian tidak boleh kekalkan rentak dan adalah bagus jika kita dapat baiki prestasi dan mengejar tangga liga,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Menjelang beberapa kejohanan besar dan jadual perlawanan yang semakin padat, Darren mahu lebih fokus kepada penjagaan diri memandangkan musim ini masih panjang dan beliau juga baru sahaja pulih daripada kecederaan.
“Ya betul, jadual akan jadi semakin sibuk dimana kita akan bermula kejohanan Piala AFC pada bulan September dan tidak berhenti di situ harapnya saya dapat dipanggil untuk bermain Piala Asia 2023 dan musim masih panjang, adalah penting untuk menjaga dan persiapkan diri.”
Beliau juga mengakui semakin selesa dan serasi bergandingan dengan pemain import baru iaitu Roman Machado yang kini sudah menjaringkan tiga gol dalam tiga perlawanan selain menyifatkan pemain tersebut adalah pemain utama pasukan tersebut.
“Saya rasa awak boleh lihat sendiri, beliau (Roman) adalah pemain yang memainkan peranan besar dalam pasukan selain banyak membantu bukan sahaja daripada jaringan gol dan saya bersyukur dapat bergandingan di bahagian serangan.”