Kami hormat JDT tetapi bagi kami setiap perlawanan adalah tiga mata – Noor Al-Rawabdeh
Pemain tengah Selangor FC, Noor Al-Rawabdeh mahu setiap rakan sepasukannya bersiap sedia dalam menghadapi cabaran Johor Darul Ta’zim (JDT) minggu hadapan dalam usaha untuk meneruskan momentum kecemerlangan mereka.
Perlawanan di antara dua pasukan gergasi ini akan menjadi perlawanan tumpuan pada minggu hadapan dengan Selangor bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI) dalam misi untuk belas dendam selepas tewas 4-0 pada perlawanan pusingan pertama Liga Super sebelum ini.
“Kami sudah tentu hormat JDT tetapi bagi kami setiap perlawanan adalah tiga mata dan setiap perlawanan adalah penting, kami perlu betul-betul bagus untuk berhadapan JDT serta semua sangat teruja untuk perlawanan ini,”
katanya.
Noor yang sudah bermain sebanyak 15 perlawanan bersama skuad Gergasi Merah itu telah menjaringkan lima gol dan satu bantuan jaringan.
Terdahulu, pemain berasal dari Jordan ini telah mempamerkan aksi yang cukup menarik pada perlawanan menentang Sabah FC malam tadi yang menyaksikan pasukannya berjaya menang 1-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Beliau turut memaklumkan bahawa dia akan guna setiap peluang dan ruang yang ada untuk memberi hasil yang terbaik buat pasukan.
“Kadang-kadang setiap apa yang saya buat dalam permainan adalah keputusan yang saya tentukan dalam sekelip mata, dan setiap ruang dan peluang yang terbuka saya akan gunakannya.”
Dalam pada itu, Noor berkata fokusnya kini adalah untuk membantu pasukan dapat meneruskan momentum kecemerlangan dan kekal konsisten menjelang saingan Piala Malaysia tidak lama lagi.
“Alhamdulillah, semua rakan pasukan saya bagus, kita hanya mahu fokus kepada perlawanan kerana setiap perlawanan adalah penting untuk mengekalkan keyakinan kami bagi meraih tiga mata dalam perlawanan seterusnya kekal di posisi sekarang dan juga sangat teruja untuk memulakan saingan di Piala Malaysia.”