Bukan sahaja cakna dalam masalah masyarakat, Salahuddin Ayub juga punya visi dalam dunia sukan

2,201

Negara masih bersedih dengan pemergian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub akibat pendarahan otak.

Allahyarham merupakan figura yang cukup penting dalam masyarakat kerana beliau menjadi pencetus kepada pelbagai insiatif Rahmah yang memberi manfaat besar kepada rakyat yang berdepan dengan tekanan kos sara hidup yang tinggi.


Pemergian Sallahuddin Ayub merupakan satu kehilangan yang cukup besar buat negara dan mungkin sukar untuk mencari pengganti sepertinya.

Beliau bukan sahaja cakna dengan masalah masyarakat, beliau juga mempunyai visi dalam dunia sukan terutamanya sukan bola sepak yang merupakan sukan kegemarannya sejak dari kecil lagi.

Malah pada tahun 2017, beliau pernah menyuarakan pandangannya termasuk harapan agar sukan nombor satu negara itu mampu kembali mencapai kecemerlangan seperti tahun 60an hingga 80an.

Beliau yang menyuarakan pandangan sebagai peminat ketika itu berkata Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memerlukan perubahan dalam aspek tadbir pengurusan mereka dengan memberi peluang kepada individu-individu yang mampu.

Individu yang dimaksudkannya itu adalah Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris yang ketika itu berjaya merevolusikan bola sepak di negeri Johor apabila memperkenalkan kelab Johor Darul Ta’zim (JDT).

Apa yang diperkatakan oleh Allahyarham ternyata benar apabila TMJ telah berjaya mengubah landskap bola sepak baik di kelab dan juga pasukan kebangsaan Harimau Malaya.

Selepas TMJ memimpin badan induk bola sepak negara pelbagai usaha telah dilakukan termasuk memulihkan semula reputasi FAM sebelum melepaskan jawatan itu kepada Datuk Hamidin Mohd Amin.

Hamidin Amin yang mengambil alih puncak kepimpinan FAM pada tahun 2018 telah membawa bola sepak tanah air ke tahap baru apabila percaturan melantik ketua jurulatih dari Korea Selatan, Kim Pan-gon membuahkan hasil yang cukup positif.

Dari kedudukan ranking 171 dunia, pasukan kebangsaan Malaysia kini berada di kedudukan 136 dunia dan lebih manis lagi berjaya layak ke Piala Asia 2023 secara merit sekaligus menamatkan kemarau lebih 40 tahun.

Harimau Malaya kini berada di landasan tepat untuk kembali ke era kegemilangan dan apa yang dibayangkan oleh Allahyarham menjadi kenyataan.

Al-Fatihah buat Allahyarham, semoga roh beliau dicucuri rahmat.