Pulau Pinang destinasi baru skuad Harimau Malaya hadapi kejohanan Pestabola Merdeka 2023?
Berikutan rumah buat pasukan Harimau Malaya iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil SNBJ) masih lagi dalam proses penukaran rumput yang baru, ditambah pula dengan penganjuran beberapa konsert yang mendapat kelulusan untuk menggunakan ruang tersebut akan menyebabkan kejohanan Pestabola Merdeka 2023 tidak akan berlangsung di gelanggang keramat.
Malah, harapan untuk melihat buat pertama kalinya pasukan kebangsaan bermain dengan rumput yang baru di SNBJ menjelang Pestabola Merdeka yang dijadualkan berlangsung pada bulan Oktober nanti mungkin tidak akan menjadi realiti apabila dilaporkan bakal ke utara tanah air iaitu Pulau Pinang.
Stadium Batu Kawan akan menjadi venue buat skuad negara, India, Lubnan dan Palestin berentap untuk merebut trofi kejuaraan tertua di Asia itu.
Perkara itu dinyatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia), Mohd Firdaus Mohamed memberitahu Harian Metro mengenai pelan ‘kecemasan’ jika SNBJ tidak dapat digunakan nanti.
Walau bagaimanapun, faktor logistik serta lokasi yang dapat menarik kehadiran para penyokong Harimau Malaya untuk hadir memberikan sokongan akan menjadi agenda utama dalam membuat pemilihan lokasi oleh FAM.
Bagaimanapun tidak terkejut jika Pulau Pinang akan dipilih jadi home skuad negara kerana ia sememangnya sudah berada dalam perancangan badan induk bola sepak negara.
Ini kerana sebelum ini Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin memberitahu mahu membawa skuad negara mengadakan jelajah bagi memberi peluang kepada peminat dari negeri lain dapat menyaksikan pasukan kesayangan beraksi.
Pada bulan Mac lalu, skuad negara telah beraksi di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) Johor, manakala pada bulan Jun yang lalu Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) Terengganu jadi venue untuk dua perlawanan persahabatan negara.
Dalam pada itu, pelan ‘kecemasan’ itu adalah satu langkah yang cukup bagus agar dapat memberi ruang yang penuh kepada kerja-kerja pertukaran permukaan rumput padang tersebut tanpa tergesa-gesa.
Ini kerana jangkaan para peminat adalah untuk melihat hasil yang membanggakan setelah proses penukaran rumput jenis Zeon Zoysia tersebut siap sepenuhnya berbanding hasil yang mendukacitakan setelah siap kelak.
Oleh itu, masa yang secukupnya perlu diberikan tanpa mengganggu proses pelaksanaaan itu agar perbelanjaan hampir menelan kos RM1.5 juta itu dapat membuahkan hasil yang baik demi kebaikan pasukan Harimau Malaya pada masa akan datang.