Liga Super Malaysia destinasi baru buat Aidil Sharin Sahak untuk meneruskan legasi ?
Jurulatih kelahiran Singapura iaitu Aidil Sharin Sahak yang sebelum ini mengendalikan kelab dari Liga 1 Indonesia, Persikabo FC mengumumkan pengunduran dirinya sebagai pengendali kelab tersebut atas alasan keluarga secara rasmi.
Pengendali berusia 46 tahun itu pernah membawa kelab Kedah Darul Aman FC (KDA) muncul juara Piala FA pada tahun 2019 serta naib juara Liga Super dua kali berturut-turut pada edisi 2020 dan 2021 itu kini ingin memberikan fokus sepenuhnya pada keluarga terdahulu.
Pengunduran Aidil Sharin yang kini berstatus ejen bebas dilihat sebagai prospek terbaik untuk kelab-kelab di Liga Super yang masih bersaing untuk mendapatkan rentak sebenar dalam menghadapi baki Liga Super musim ini.
Terengganu FC yang sedang dilanda kemelut prestasi serta tahap kepercaayan para peminat terhadap kelab tersebut dilihat sebagai destinasi terbaik buat Aidil Sharin untuk menyambung legasinya di Liga Super.
Tambahan pula, penggalaman luas yang dimiliki oleh pengendali tersebut dalam Piala AFC mampu menjadi jawapan kepada tanda tanya skuad Sang Penyu yang akan beraksi di pentas Asia pada September depan.
Dalam pada itu, Kuching City FC yang baru kehilangan ketua jurulatih mereka iaitu Irfan Bakti dan pembantu pengendali Sulaiman Hussin juga dilihat sebagai destinasi terbaik buat jurulatih tersebut untuk menjadi pengendali kelab yang berpengkalan di Sarawak itu.
Kemahiran teknikal Aidil Sharin juga dilihat mampu untuk memacu kelab yang mempunyai ramai pemain muda itu untuk terus memajukan diri mereka justeru memberikan saingan sebagai pendatang baru dalam Liga Super.
Sementara itu, Perak FC yang hanya mengumpul tiga kemenangan sepanjang separuh musim ini juga boleh mengisi tempat kosong jurulatih dek kerana pengendali kelab itu iaitu Yusri Che Lah kini hanyalah berstatus interim sahaja.
Kemahiran serta pengalaman yang dimiliki oleh jurulatih tersebut merupakan aset yang baik kepada kelab untuk digunakan dalam jangka masa yang panjang.
Dengan corak permainan moden yang dimiliki oleh pengendali itu juga dilihat mampu menambah kerancakkan dalam Liga Super.