Argzim Redzovic tunggu masa jadi pemain naturalisasi pertama Terengganu FC
Pemain pertahanan kelahiran Montenegro iaitu Argzim Redzovic yang sudah bermain selama lima musim di dalam kancah Liga Malaysia bakal menjadi muka baharu yang boleh dipanggil untuk menyarung jersi pasukan Harimau Malaya.
Argzim Redzovic yang berusia 31 tahun bakal menjadi pemain pertama yang dinaturalisasi oleh Terengganu FC serta akan memberi lebih pilihan buat pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon menjelang Piala Asia 2023 awal Januari 2024.
Proses naturalisasi yang dijangkakan akan selesai pada bulan Ogos tahun ini juga pasti akan membuka peluang buat pemain itu membuktikan dirinya bagi merebut tempat dalam skuad negara pada kejohanan Pestabola Merdeka 2023 yang akan berlangsung pada 14 Oktober nanti.
Dalam pada itu, pemain yang sudah tidak sabar untuk bergelar sebagai pemain naturalisasi itu berharap proses naturalisasinya selesai pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia agar dapat memberikan kelebihan buat pasukannya dalam pemilihan kesebelasan utama.
Beliau memulakan karier bola sepaknya di Liga Perdana beraksi bersama kelab PDRM FC selama dua musim sebelum berhijrah ke Terengganu FC II pada tahun 2019 dan aksi yang menyakinkan membuatkan beliau diserap ke skuad utama yang beraksi di Liga Super.
Argzim merupakan salah seorang tonggak utama pertahanan pasukan dek mempunyai ketinggi dan fizikal yang sasa.
Selepas Paulo Josue dari Kuala Lumpur FC yang menjadi pemain terakhir dinaturalisasi Malaysia, Argzim Redzovic dijangkakan bakal menjadi pemain kelapan yang akan dinaturalisasi menjadikan keseluruhan pemain naturalisasi dimiliki oleh Malaysia sebanyak lapan pemain.