5 dari 7 gol JDT berpunca dari set pieces – Patt Sriwijit
Ketua jurulatih Selangor TOT United, Patt Sriwijit berkata pasukannya bermain dengan baik namun serangan dari ‘set pieces’ dari pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya menerjah gawang mereka untuk terpaksa akur dengan kekalah 7-5 pada perlawanan separuh akhir Malaysia Premier League Futsal (MPFL) malam tadi.
Menurut Sriwijit, kerap membuat kesilapan menjadi faktor utama kekalahan mereka kerana dengan kualiti pemain kebangsaan dalam pasukan JDT membuatkan mereka mudah untuk ambil peluang tersebut untuk jaringkan gol.
Beliau bagaimanapun masih lagi optimis dengan peluang pasukannya dan percaya mereka mampu bangkit pada separuh akhir kedua di Pasir Gudang, Johor nanti.
“Kita boleh kembali semula ke dalam permainan sebab sekarang kita dah nampak di mana kesilapannya, kita beri mereka gol daripada set pieces seperti tendangan sudut menghasilkan tiga gol manakala foul-play menyebabkan mereka bolos lagi dua gol dan menjadikan 5 gol kesemuanya,”
katanya.
JDT yang awalnya ketinggalan 3-2 dalam babak pertama kembali bangkit dengan mempamerkan aksi yang lebih kemas dan menjaringkan lima gol untuk membawa bekalan selesa apabila turun beraksi di tempat sendiri nanti.
Jurulatih berasal dari Thailand itu turut memberitahu bahawa konsentrasi pemain yang terganggu disebabkan keseronokkan dalam meraih gol demi gol pada babak awal permainan menyebabkan mereka terleka dan hilang fokus sehinggakan pertahanan mereka mudah bocor.
“Kita terlalu banyak kesilapan terutama konsentrasi pemain, apabila kita mahu lebih-lebih lagi akhirnya kita kehilangan jurang gol.”
Selangor TOT United bakal berkunjung ke Pasir Gudang minggu hadapan bagi mengejar semula harapan mereka bagi beraksi di pentas akhir MPFL.