Bagi saya penampilan bukan satu masalah dan ia tidak mempengaruhi gaya permainan kami – Siti Nurfaizah

507

Pemain bola sepak wanita Malaysia University Football Team (MUFT-W), Siti Nurfaizah Saidin tidak menghiraukan cakap-cakap netizen yang bersifat seksisme apabila mengatakan penampilan pemain-pemain bola sepak wanita ini lebih kepada ‘tomboi’.

Siti Nurfaizah yang ditemui semasa sesi latihan pasukan MUFT-W semalam menegaskan bahawa setiap kritikan yang diterima berdasarkan penampilan terutama pandangan seksisme yang dilemparkan boleh diibaratkan seperti masuk telinga kanan keluar telinga kiri.


Selain itu, beliau ingin menunjukkan kepada semua bahawa setiap kritikan yang dilemparkan kepada mereka tidak mengubah corak permainan yang ditonjolkan selain meningkatkan lagi keinginan mereka untuk bermain bola sepak.

“Bagi saya penampilan bukan satu masalah dan ia tidak mempengaruhi gaya permainan kami selain penampilan kami juga tidak menjadi satu halangan atau masalah besar untuk bermain bola sepak,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Memandangkan baru-baru ini Intan Serah yang bermain di luar negara telah menjadi fenomena dalam dunia bola sepak wanita di Malaysia menyaksikan ramai pemain muda menjadikan beliau sebagai contoh termasuk juga Siti Nurfaizah yang bercita-cita ingin meneruskan kariernya bersama kelab di luar negara.

“Memang itu sasaran saya dalam kancah bola sepak ini, seperti yang dilakukan oleh Intan Serah iaitu bermain dengan kelab di luar negara.”

Jika dilihat dalam skuad MUFT-W ini terdapat wajah-wajah yang tidak asing lagi dalam kancah bola sepak wanita tempatan terutama yang beraksi di Sukan SEA Kemboja lalu.

Siti Nurfaizah yang merupakan tonggak pertahanan skuad kebangsaan di Kemboja tempoh hari tidak berasa kekok dengan ahli pasukannya dan merasakan pengalaman serta taktikal yang diterapkan semasa kejohanan tempoh hari boleh diaplikasikan untuk pasukan ini juga.

“Masa di Sukan SEA kami banyak berlatih menggunakan beberapa taktikal misalnya build-up play jika ingin memulakan permainan daripada bawah dan taktikal ini boleh diterapkan dalam pasukan sekarang, selain saya yakin dengan potensi pasukan ini kami boleh bersaing dengan pasukan-pasukan lain kerana kebanyakan pemain dalam pasukan ini kami pernah bermain bersama jadi ada keserasian dalam corak permainan kami.”

Sebagai salah seorang pemain penting di barisan pertahanan terutama di dalam Malayan Tigress, Siti Nurfaizah tidak mahu dibayangi sebarang populariti atau tekanan daripada peminat dan hanya mahu berikan yang terbaik di atas padang agar menjadi antara pemain yang terbaik di masa hadapan.

“Sebenarnya saya tidak terlalu fikir tentang pemain harapan dan sebagainya, saya hanya fikir pasal tentang diri saya dan mahu tingkatkan lagi kemampuan saya untuk masa hadapan.”