Fokus kami terhadap bola sepak dan bukannya fokus cari ‘boyfriend’ – Eva Olivianie Antinus

511

Pemain pasukan wanita Malaysia University Football Team (MUFT-W), Eva Olivianie Antinus memberitahu beliau tidak memikirkan soal teman lelaki buat masa ini kerana mahu fokus pada kariernya sebagai pemain bola sepak dan mahu pergi ke tahap tertinggi.

Eva pemain berasal daripada Sabah itu menegaskan pemain-pemain bola sepak wanita tidak memiliki banyak waktu untuk memikirkan tentang teman lelaki disamping kesibukkan mereka dalam menjadi pemain bola sepak juga menjadi faktor utama untuk tidak memikirkan perkara sedemikian.


“Bagi Eva, kami bukan susah untuk dapat teman lelaki tapi mungkin kebanyakkan daripada kami sibuk dengan latihan dan kebanyakkannya juga fokus dengan karier mereka dalam bola sepak wanita, jadi tanggapan mereka adalah salah, kami ada fokus kami sendiri terhadap bola sepak dan bukan fokus mahu mencari teman lelaki sahaja,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Bercerita lanjut mengenai saingan Liga Wanita Nasional (LWN) yang bakal membuka tirainya tidak lama lagi, beliau berasa cukup positif untuk mengharungi saingan liga musim ini dan mahu gunakan pengalaman ketika beraksi di Sukan SEA Kemboja lalu banyak membantunya dari segi ketahanan mental dan fizikal.

“Pengalaman ke Kemboja sangat membantu Eva, terutama daripada segi mental dan fizikal, tambahan dengan cuaca lagi serta latihan setiap hari, jadi secara mental memang kena siap sedia fizikal kena kuat, walaupun agak mencabar tetapi buat masa ini Eva masih dalam keadaan baik dan bersedia.”

MUFT-W turut menampilkan beberapa barisan pemain daripada Malayan Tigress yang turut bersama-sama Eva dalam perjalanan mereka di Sukan SEA lalu sekaligus memberi kelebihan buat pasukan ini beraksi dengan keserasian yang sudah terjalin sekian lama.

Dalam pada itu, dengan Piala Dunia Wanita sedang berlangsung ketika ini, beliau berharap ia akan menjadi pembakar semangat kepada skuad negara untuk bekerja dengan lebih keras lagi supaya dapat ikut jejak langkah Vietnam dan Filipina yang menjadi dua pasukan dari ASEAN ke kejohanan berprestij itu.

“Untuk Eva, Eva kena tingkatkan lagi kelajuan, selain itu pendedahan perlawanan-perlawanan dengan pasukan antarabangsa turut memainkan peranan jadi kedua-dua ini perlu dipertingkatkan iaitu lebih laju dan lebih pengalaman.

Eva jadikan pasukan ASEAN yang pergi Piala Dunia sebagai suatu yang tidak harus dicemburi tetapi kita sendiri perlu peningkatan dan harap kita pun boleh sampai ke tahap itu serta bagi Eva untuk layak ke Piala Dunia tidak mustahil, tetapi tempoh masa dan usaha kena sama, maksud saya kena banyak berlatih, banyak bermain di peringkat antarabangsa selain sama-sama usaha untuk mencapai peringkat tersebut.”

Eva yang kini berumur 23 tahun bermain di posisi pertahanan mensasarkan untuk melangkah jauh dalam sukan bola sepak wanita terutama bermain di peringkat lebih tinggi di luar negar selain beliau turut berharap pasukannya iaitu MUFT-W memperoleh sekurang-kurangnya tempat ketiga bagi edisi kali ini.