Perjuangan UiTM FC di Liga Malaysia masih belum terkubur
UiTM FC membuktikan perjuangan mereka untuk terus beraksi dalam Liga Malaysia belum terkubur apabila kini sedang rancak membuat persiapan untuk saingan Liga Perdana.
Perkembangan terbaru ini sekaligus menyangkal desas-desus sebelum ini yang mendakwa pasukan bertaraf universiti itu bakal menjadi pasukan pertama Liga Malaysia menarik diri dalam saingan musim 2022 dek kekangan dana selepas dana yang diterima untuk musim ini dipotong 50 peratus.
Lebih separuh pemain termasuk barisan kejurulatihan juga telah ‘angkat kaki’ ke pasukan lain.
Bagaimanapun UiTM FC tidak mahu ‘angkat bendera putih’ lagi, sebaliknya mereka cuba untuk mempersiapkan pasukan bagi menghadapi musim baru mengikut bajet yang ada.
Untuk memastikan mereka mempunyai pasukan lengkap sebelum saingan bermula, UiTM kini sedang rancak mengadakan pemilihan pemain yang sudah pun bermula sejak 11 Januari (Selasa) hingga 14 Januari ini.
Walaupun pada musim ini UiTM berkemungkinan besar tidak akan menggunakan pemain import lagi, namun ia bukanlah satu masalah buat pasukan itu kerana mereka kini boleh memberi peluang kepada pemain-pemain muda berbakat untuk sertai mereka.
UiTM bakal kembali seperti mereka mula ditubuhkan iaitu pada tahun 2008 yang mana ia dibarisi oleh pemain tempatan yang terdiri daripada kalangan pelajar universiti.
Tidak dinafikan persiapan UiTM pada musim ini sangat kucar-kacir kerana mereka masih lagi menjadi barisan pemain terbaik. Mereka juga masih mencari barisan kejurulatihan yang sesuai untuk mengendalikan pasukan itu.
Pada msuim lalu, prestasi tidak menentu pasukan UiTM menyaksikan mereka mengakhiri saingan Liga Super di tangga tercorot dengan hanya berjaya mengutip 13 mata sahaja.
Apa yang akan terjadi kepada UiTM pada musim ini? Adakah mereka akan kekal dalam Liga Perdana atau membuat kejutan dengan kembali layak ke Liga Super? Atau mereka akan jatuh ke Liga M3? Sama-sama kita tunggu.
Terdahulu, UiTM membuat kemunculan dalam Liga Malaysia pada tahun 2009 di Liga FAM. Pada tahun 2012 mereka telah dinaikkan pangkat ke Liga Perdana bagi menggantikan USM FC yang menarik diri.
Mereka kemudian mencipta sejarah pada tahun 2017 apabila buat pertama kali layak ke Piala Malaysia. Pada tahun 2019 UiTM sekali lagi mengejutkan ramai apabila mereka dinaikkan pangkat untuk bermain dalam saingan Liga Super.
Pemilihan pemain dan pemain UiTM sebelum ini agak unik kerana mereka perlu mengikuti kursus Ijazah Sarjana Muda di UiTM terlebih dahulu sebelum dapat mewakili UiTM FC.