Pemain kami ini diberikan elaun yang nilainya tidak terlalu tinggi – Hairul Nizar
Penolong jurulatih pasukan wanita Malaysia University Football Team (MUFT-W), Hairul Nizar Halim mendedahkan bahawa pemain-pemainnya hanya diberikan elaun berbanding gaji bulanan yang diterima seperti pasukan-pasukan lain.
Hairul Nizar menjelaskan bahawa setiap pemain diberikan elaun khas yang nilainya tidak terlalu tinggi dan tidak juga terlalu rendah sesuai dengan tarif yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) buat pemain-pemain yang berstatus pelajar.
“Untuk pasukan MUFT-W ini, pemain kami ini diberikan elaun yang nilainya adalah tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu rendah berdasarkan tarif yang telah ditetapkan oleh KPM,”
katanya kepada Harimau Malaya.
MUFT-W ditubuhkan hasil daripada gabungan pemain-pemain yang menyambung pelajaran dari beberapa Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia antaranya Universiti Teknologi Mara (UITM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).
Penolong jurulatih itu juga memberitahu bahawa motif penubuhan pasukan ini juga tidak lain dan tidak bukan untuk memastikan hala tuju pemain-pemain bola sepak wanita negara mempunyai platform bagi mendapatkan minit permainan mereka.
“Kita tidak mengambil pemain-pemain daripada luar, ini adalah platfom untuk pelajar yang belajar di IPT untuk meneruskan karier mereka dalam bermain bola sepak, objektif kita adalah untuk menarik minat pemain-pemain bagi menyambung pelajaran selain menjadi satu cabang buat pemain selepas mereka tidak bermain bola sepak lagi.”
Selain daripada itu juga, Hairul Nizar turut menyeru badan-badan yang bertanggungjawab terhadap sukan bola sepak wanita supaya memberi fokus yang lebih buat sukan ini dalam merencanakan pembentukan bermula di peringkat akar umbi sekarang agar dalam beberapa tempoh kedepan Malaysia dapat hasilkan pasukan yang setara dengan pasukan ASEAN yang lain.
“Jika pihak di atas melihat pasukan wanita ini boleh pergi lebih jauh dan bersaing di peringkat antarabangsa ia perlu diteruskan bukan sahaja di peringkat senior malah pada peringkat dasar juga, jika berjaya membina satu platform di peringkat bawah yang kukuh secara tak langsung peringkat senior kelak dapat melahirkakan pemain-pemain bola sepak wanita yang lebih berkualiti.”
Beliau yang pertama kali membawa pasukan wanita universiti ini beraksi di Liga Wanita Nasional (LWN) tidak mahu meletakkan harapan yang terlalu tinggi dan cuma mengharapkan agar kesemua pemain dapat memberikan fokus dan berdisiplin dalam latihan supaya memperoleh hasil yang positif sebaik kejohanan tersebut bermula.
“Sasaran sudah semestinya ingin menjadi juara, ini adalah pengalaman pertama kami walaupun ada beberapa pemain yang pernah bermain dengan pasukan lain sebelum ini tetapi ini adalah liga yang pertama yang memerlukan kami melakukan penjagaan khusus daripada segi training, makan dan rehat, sekiranya pemain-pemain kami berdisiplin sudah pasti kami bakal meriah kejayaan apabila bermulanya kejohanan nanti.”
MUFT-W kini bakal membuat penampilan sulung mereka di pentas LWN sekaligus bakal memberikan saingan yang lebih rancak memandangkan ahli pasukan ini dibarisi dengan pemain-pemain muda yang masih menuntut pengajian di IPT selain ada juga yang berstatus pemain kebangsaan.