KBS dan PSM berganding bahu dalam merakyatkan sukan bermula di Stadium Nasional Bukit Jalil

420

Menteri Belia dan Sukan (KBS), YB Hannah Yeoh memperkenal inisiatif baru dalam penggunaan aset Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) yang bakal diberikan khusus kepada sekolah-sekolah di seluruh Malaysia secara percuma.

YB Hannah yang ditemui dalam sesi sidang media Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-25 KL Sports City di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sebentar tadi mengumumkan perancangan merakyatkan fasiliti milik PSM kepada masyarakat umum bermula Oktober depan selepas selesai proses penukaran semula rumput stadium tersebut.


“Sempena ulang tahun ke-25 KL Sports City, pelaksanaan konsep merakyatkan sukan melalui penggunaan fasiliti sukan di bawah PSM telah dipersetujui oleh mesyuarat perbadanan dan mereka akan memberi secara percuma sempena sambutan Hari Sukan Sekolah buat semua sekolah,”

katanya.

Pada sidang media tersebut Hannah bersama Anggota PSM antaranya Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PSM, Mohd Faidz Sanusi dan Pengerusi PSM iaitu Datuk Gerald Hans Isaac turut mengemukakan beberapa langkah atau inisiatif secara khusus bagi memudahkan masyarakat memahami usaha yang dilakukan oleh KBS dalam memberi rakyat Malaysia merasai sendiri fasiliti yang ada di stadium berprestij itu.

“Sekiranya semua sekolah ingin melaksanakan hari sukan sekolah mereka boleh datang untuk buat tempahan sekiranya fasiliti itu tiada yang tempah dan tiada sebarang majlis dijadualkan berlangsung, hal ini selaras dengan inisiatif bahawa KBS mahu memfokuskan sukan olahrga sebagai sukan pembangunan akar umbi di peringkat sekolah.”

Hannah turut memberi pandangan bahawa kanak-kanak di Malaysia bakal terinspirasi untuk menjadi atlet kebangsaan khususnya dalam sukan olahraga berdasarkan pengalaman mereka bersukan menggunakan aset yang disediakan oleh PSM ini.

“Saya percaya dengan pengalaman kanak-kanak sekolah ini berlari di trek akan memberi mereka inspirasi untuk menjadi atlet, mereka dapat rasai sendiri pengalaman berlari di trek Stadium Nasional Bukit Jalil.”

Di samping itu juga, hasil daripada inisiatif yang diterapkan ini, Hannah turut menyeru syarikat-syarikat makanan berkhasiat kanak-kanak untuk turut serta bersama KBS dan PSM dalam mempromosikan lagi gaya hidup sihat terutama kepada kelompok sasaran kali ini iaitu kanak-kanak.

Antara inisiatif yang turut dilakukan adalah membuka trek larian kepada orang awam pada hari-hari yang telah ditetapkan, menganjurkan program kolaborasi PSM bersama D Swim Academy yang memberi program renang buat golongan B40 serta memaksimakan sewaan venue dan program rekreasi.

Beliau juga berharap selepas selesai proses penanaman semula rumput yang baru di SNBJ itu sekolah-sekolah akan mula untuk membuat tempahan bagi memeriahkan lagi inisiatif yang diberikan sekaligus melahirkan lebih ramai atlet-atlet muda khususnya dalam sukan olahraga.