Yoodo Red Giant mahu tarik peminat Selangor FC ke MPL MY Ogos ini

263

Ketua e-sukan Yoodo Red Giant (YRG), Simon Lim mahu pastikan lebih ramai penyokong bola sepak Selangor FC turun menyokong pasukan Mobile Legends Bang Bang (MLBB) mereka menjelang permulaan musim ke-12 Mobile Legends Professional League Malaysia (MPL MY) pada Ogos nanti.

Simon selaku pengelola pasukan yang baru meningkat naik itu menyatakan hasratnya untuk menarik lebih ramai penyokong terutama daripada peminat pasukan Selangor dalam usaha membawa pasukan YRG lebih berjaya sekaligus menggegar pentas MPL MY musim ini.


Beliau juga yakin bahawa setiap peminat bola sepak Selangor sendiri sudah pasti bermain MLBB termasuklah ultras yang memberikan sepenuh jiwa mereka dalam menyokong pasukan Merah Kuning itu.

“Saya percaya ramai penyokong Selangor yang main ML walaupun daripada ultras pasti ada, jadi apa perancangan kita adalah kita mahu gabungkan penyokong-penyokong bola sepak Selangor untuk sokonng kita di MPL.

Kita telah melakukan aktiviti bersama dan antara aktiviti bersama yang kita buat adalah baru-baru ini dengan menganjurkan satu perlawanan Mobile Legends dengan penyokong Selangor sebelum perlawanan Selangor dan Sabah FC bermula pada minggu lalu,”

katanya kepada Harimau Malaya.

YRG yang beraksi di pentas antarbangsa buat kali pertama, tampil dengan prestasi mengejutkan baru-baru ini apabila hampir mengalahkah juara dunia iaitu Onic Esport daripada Indonesia.

Perkara ini turut diakui oleh Simon dan menganggap pasukan di bawah kendaliannya ini mampu memberikan kejutan sekali lagi di MPL MY musim ke-12 kini sekaligus melayakkan diri ke kejuaraan dunia M5.

“Saya sendiri pun terkejut dengan prestasi pemain-pemain kami, saya sangat-sangat gembira kerana mereka bertambah baik dari hari ke hari dan betul mereka hampir kejutkan juara dunia dan harapan saya untuk MPL musim ke-12 ini, harapnya pasukan kita dapat layakkan diri ke M5.”

Simon yang ditemui semasa sesi sidang media Majlis Pelancaran MPL MY musim ke 12 yang turut dihadiri barisan penaja serta pemain-pemain yang bakal mewarnai kejohanan tersebut yang mana kali ini venue kejohanan telah beralih dari sebelum ini di Stadium Juara ke Dewan Sri Putra ke KL Sports City, Bukit Jalil.

Sementara itu, Simon juga sempat memberi pandangan tentang beberapa pasukan yang bakal memberi cabaran khususnya buat pasukan YRG sendiri.

“Pencabar utama dalam MPL MY musim ini semuanya kuat-kuat, bukan satu seperti sebelum ini tetapi lebih seperti Todak yang dikenali dengan konsistensinya, Homebois yang sangat-sangat kuat, SMG dari segi persiapannya sangat rapi dan tidak terlupa juga RSG, keempat-empat pasukan ini akan menjadi pencabar terkuat kami.”