Aretha Pan pamer dominasi apabila mendahului Supra Cup 2023 dengan 5 di bawah par
Pemain golf wanita profesional negara, Aretha Pan terus mempamerkan dominasi dalam kejohanan Supra Cup 2023 apabila menamatkan hari kedua kejohanan Supra Cup 2023 dengan dua di bawah par untuk keseluruhan lima di bawah par selepas dua hari.
Menurut Aretha Pan, walaupun permainannya hari ini tidak bagus berbanding hari pertama namun beliau tetap berpuas hati dengan keseluruhan persembahannya.
“Permainan saya hari ini agak okay di mana saya berjaya bermain dua di bawah par dan lima di bawah par untuk dua hari kejohanan ini.
Cabaran hari ini untuk saya adalah ketika bermain back 9 yang mana ia merupakan lubang pertama berikutan saya bermula pada lubang ke-10 tadi. Angin mula bertiup kuat membuatkan situasi menjadi sedikit sukar.
Permainan semalam lebih baik dari hari ini kerana semalam saya mempunyai banyak peluang birdie, tapi up and down saya lebih baik hari ini untuk dapatkan par,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Dengan skor lima di bawah par, Aretha kini berada di puncak carta meninggalkan pesaing terdekat Geraldine Wong dengan lima pukulan.
“Saya tidak mahu terlalu selesa sebaliknya akan cuba terus bermain baik dan cuba dapatkan skor terendah yang mungkin. Ini kerana dalam sukan golf apa sahaja boleh berlaku, oleh itu saya akan fokus pada permainan saya untuk dapatkan keputusan terbaik.”
Dalam pada itu, beliau juga berharap dapat terus pamer aksi menyakinkan pada pusingan ketiga iaitu hari terakhir kejohanan untuk cuba merangkul kejuaraan keduanya pada tahun ini.
Terdahulu, Aretha memperoleh kejuaraan pada kejohanan Kejuaraan Wanita Piala Tun Ahmad Sarji 2023.