Selangor FC sahkan Faisal Halim digantung 4 bulan
Kekecohan mengenai dakwaan pemain sensasi Faisal Halim digantung akhirnya terjawab juga apabila Selangor FC telah tampil mengesahkan bahawa pemain itu digantung selama empat bulan oleh Jawatankuasa Tataterbit Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey bagaimanapun akan menjalani hukuman penggantungan selama sebulan terlebih dahulu yang akan bermula dari 25 Julai hingga 23 Ogos 2023.
Manakala baki hukuman lagi tiga bulan akan ditangguhkan dahulu dan tertakluk kepada kelakuan pemain lincah tersebut yang bakal diperhatikan selama 12 bulan bermula dari 24/8/2023 hingga 24/8/2024.
Penggantungan itu juga adalah disebabkan oleh satu kenyataan yang telah dibawa naik pemain malang tersebut sejurus kekalahan 2-1 kelab tersebut terhadap kelab Sabah FC pada tarikh 27/4/2023.
Persoalan yang timbul kini adalah sebab penggantungan pemain itu tidak dinyatakan dengan jelas sekaligus telah menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan peminat.
Ia merupakan satu berita yang cukup malang buat skuad Merah Kuning kerana mereka ketika ini berada pada prestasi terbaik dan tindakan tataterbit itu pastinya akan memberi impak yang cukup besar terhadap pasukan itu.
Apatah lagi pasukan Selangor yang bakal berkunjung ke Selatan negeri pada sabtu ini untuk bertemu dengan Johor Darul Ta’zim (JDT), semestinya tonggak utama seperti Mickey diperlukan untuk memberikan saingan dan mencabar kedudukan kelab itu.
Diharap pihak FAM akan segera mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara ini supaya tidak timbul pelbagai spekulasi lagi.