Semoga Datuk Baljit Singh Sidhu dapat membuat keputusan dengan cepat dan konsisten pada masa akan datang

4,575

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) iaitu Datuk Baljit Singh Sidhu yang juga merupakan seorang peguam berprolifik digesa untuk lebih pantas dalam mengambil sebarang tindakan serta mengesahkan hukuman pada masa akan datang.

Hal ini berikutan selepas hampir empat bulan tempoh waktu yang diambil oleh jawatankuasa tersebut dalam memberikan hukuman terhadap seorang pemain Selangor FC, Faisal Halim yang dikenakan hukuman penggantungan empat bulan (1+3).


Sekiranya waktu yang diambil untuk menjatuhkan hukuman ini terlalu panjang maka akan lebih banyak kes-kes yang akan tergantung tidak bertali tanpa jawapan justeru bakal menimbulkan pelbagai spekulasi yang jelas akan meninggalkan pandangan negatif terhadap badan bebas itu sendiri.

Tambahan pula, insiden kekecohan yang tidak menyenangkan semasa berlangsungnya perlawanan akhir Piala FA itu juga masih lagi tergantung tanpa sebarang kenyataan rasmi dari jawatankuasa itu walaupun peristiwa tersebut sudah berada dalam rekod pihak polis.

Bukan itu sahaja, hukuman yang tidak konsisten juga bakal menimbulkan tanda tanya kepada para peminat sukan bola sepak negara berkenaan penilaian yang dibuat oleh badan bebas itu dalam membuat keputusan.

Sebelum ini, kesalahan yang hampir sama juga pernah dilakukan oleh pemain The City Boys iaitu Kenny Pallraj dan telah menerima hukuman dua bulan penggantungan, begitu juga ketika Natxo Insa yang menolak pengadil dan digantung dua perlawanan berserta denda RM10,000 tidak sampai tempoh sebulan untuk keputusan tersebut diambil.

Tidak konsisten dalam membuat penghakiman ini akan terus dipersoalkan terutamanya kepada pengerusi jawatankuasa itu sendiri yang bertindak sebagai badan kehakiman untuk FAM dalam mengawal keadilan persekitaran bola sepak Malaysia.

Oleh itu, pengerusi jawatankuasa itu digesa agar lebih konsisten dalam membuat keputusan dan menjalankan hukuman agar sebarang kata putus yang dibuat dapat diterima oleh peminat sukan bola sepak negara dengan hati yang terbuka.