Peraturan baru mampu mengubah kelab di dasar liga untuk lebih fokus memperbaiki kedudukan

965

Tiada angin tiada rebut, tiba-tiba sahaja format saingan Liga Super berubah selepas pengelola liga iaitu Malaysian Football League (MFL) telah mengumumkan ada penyingkiran bagi pasukan berada di kedudukan dua tercorot pada hujung musim.

Pertukaran yang berlaku pada pertengahan liga secara mengejut ini disuarakan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sendiri iaitu Datuk Stuart Ramalingam.


Kelab yang tersingkir tidak akan turun ke Liga Perdana dek saingan liga itu dimansuhkan buat sementara itu, sebaliknya mereka akan diturunkan ke liga semi profesional Liga M3.

Penstrukturan peraturan baru ini juga hampir serupa dengan episod pada musim lepas apabila berlaku penstrukturan baru sebelum musim itu berakhir sepenuhnya.

Walaubagaimanapun, dari sudut positifnya penstrukturan baharu liga super ini pasti akan membawa nafas baru buat pasukan yang kini sedang berusaha mendapatkan rentak prestasi di dalam Liga Super seperti Kelantan FC, Kelantan United FC, Kuching City FC dan Perak FC untuk lebih berhati-hati.

Terutamanya juga buat kelab Kelantan yang masih bergelut dengan masalah pembayaran gaji untuk menyelesaikan masalah tersebut dan memberikan fokus sepenuhnya untuk memperbaiki kedudukan di dalam liga agar tidak tersingkir.

Antara persoalan yang menarik untuk disuarakan juga adalah adakah kelab yang sedang berada di Liga M3 sudah bersedia sepenuhnya dari segi kewangan, pelesenan dan infrastruktur asas sebelum melangkah naik bersaing dalam Liga Super.

Isu kewangan sebelum ini sehingga menyebabkan kelab seperti Melaka FC dan Sarawak United FC tidak dapat bersaing dalam Liga Super musim ini dek tidak mendapat Lesen Kebangsaan berikutan masalah gaji yang dihadapi mereka.

Tindakan ini juga adalah langkah kanan buat semua pasukan dari liga bawahan untuk segera mengukuhkan pasukan dari pelbagai aspek terutamanya kewangan sekiranya berhasrat mahu mendapatkan Lesen Kebangsaan untuk bermain di Liga Super.

Kerancakkan Liga Super pada tahun hadapan pasti akan lebih ditunggu-tunggu buat semua para peminat bola sepak tempatan kerana bakal menjadi lebih kompetitif.