Saya masih rasa macam susah sikit kalau jurulatih Manshahar tiada – Nur Sarah Adi
Pemenang pingat perak acara lompat bergalah Sukan SEA Kemboja, Nur Sarah Adi akui masih kekok untuk pergi ke kejohanan tanpa bekas jurulatihnya Manshahar Abd Jalil yang telah bersara awal tahun ini.
Sarah yang kini berada di bawah kendalian bekas atlet lompat galah negara, Rosalinda Samsu memberitahu bahawa tiada perbezaan yang ketara dari segi cara pengurusan Manshahar dan juga Rosalinda.
“Perbezaan tiada yang ketara sebab kami masih lagi bekerja bersama kedua-duanya memantau progress saya cuma bezanya jurulatih Man tiada semasa saya pergi ke kejohanan dan ditemani jurulatih Linda, sehingga sekarang dua-dua baik,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Namun dari sudut pengalaman sudah semestinya Sarah lebih selesa jika Manshahar yang sudah lama melatihnya turut bersama-samanya di kejohanan-kejohanan yang disertai selain mempunyai keserasian dengan jurulatihnya itu.
“Sebenarnya sampai sekarang saya masih rasa macam susah sikit kalau jurulatih Manshahar tiada, terutama dari segi emosi sebab beliau tahu kemampuan saya jadi macam sebelum ini dia akan bagi nasihat atau teguran, bila tiada beliau tu memang sikit terganganggu juga lah.”
Sarah yang sebelum ini tidak tersenarai dalam saingan Kejohanan Olahraga Asia di Thailand memaklumkan ada beberapa faktor yang menyebabkan beliau tidak dapat menyertai kejohanan tersebut antaranya disebabkan oleh kecederaan ligamen dan kesuntukan masa dalam mempersiapkan diri bagi kejohanan tersebut.
“Habis je Sukan SEA Kemboja memang fisio dah cakap bahawa saya tidak sempat untuk ke Kejohanan Olahraga Asia di Thailand, awal-awal mungkin semua cakap sempat, tetapi tidak lah pula baru sahaja pulih lepastu nak mulakan latihan semula, jadi dekat situ persiapan untuk ke kejohanan itu agak kurang dan terpaksa tarik diri dan sekarang fokus kepada Sukan Universiti Dunia,”
Sarah turut menyatakan harapannya untuk kedua-dua acara yang disertai iaitu lompat bergalah dan 4X100 meter di Sukan Universiti Dunia (WUG) yang bakal berlangsung dari 28 Julai sehingga 8 Ogos.
“Saya harap saya dapat bagi yang terbaik dan boleh tumpukan perhatian untuk kuartert 4X100 saya, kerana kejohanan sebelum ini saya tidak dapat sertai mereka untuk berlari, saya harap dapat beri kerjasama yang baik dan untuk lompat bergalah memandangkan saya baru pulih daripada kecederaan saya mahu kekalkan prestasi saya di sana.”