Gembira dengan keputusan undian tapi kita perlu hormati setiap pasukan lawan – Kim Pan-gon
Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Kim Pan-gon gembira dengan undian Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2026 / Piala Asia 2027 yang berlangsung di AFC House, Bukit Jalil sebentar tadi.
Dalam undian sebentar tadi, Malaysia telah diundi dalam Kumpulan D bersama Oman, Kyrgyzstan dan pemenang pusingan pertama di antara Chinese Taipei dan Timor Leste.
“Pasukan dari Pot 1 dan Pot 2 adalah pasukan yang kuat tapi saya gembira dengan undian kerana ia akan menjadi cabaran yang baik buat kita serta memberi motivasi untuk dapatkan keputusan yang baik.
Kita tidak boleh cakap kita diundi dalam kumpulan senang sebaliknya bagi saya ia kumpulan yang baik berbanding kumpulan lain. Ia bergantung kepada persiapan kita untuk memperkuatkan pasukan semaksimum yang mungkin.
Kita perlu menghormati setiap pasukan lawan dan perjalanan kita juga akan sukar yang mana satu di Timur Tengah dan satu di Asia Tengah, jadi kita tidak boleh cakap mudah sebaliknya kita perlu buat persiapan dengan rapi,”
katanya.
Dalam pada itu, dengan keputusan undian ini Pan-gon berkata ia akan memudahkan beliau dan barisan kejurulatihan untuk mengatur perlawanan persahabatan sebagai persiapan.
“Sekarang ini kita lebih jelas jadi jadual September ini kita akan tentukan dalam tempoh sehari du aini. Kita juga perlu atur semula jadual perlawanan persahabatan kita pada awal Januari nanti.”
Skuad Harimau Malaya akan memulakan kempen kelayakan pada 16 November 2023 dan 6 Jun 2024 menentang Kyrgyzstan; 21 November 2023 dan 11 Jun 2024 menentang Chinese Taipei/Timor Leste; 21 Mac 2024 dan 26 Mac 2024 menentang Oman.
Dua pasukan teratas dari 18 kumpulan akan layak ke pusingan akhir Kelayakan Piala Dunia 2026 dan layak secara automatic ke Piala Asia 2027.