Saya boleh bersaing dengan pemain-pemain profesional – Marcus Lim

197

Pemain golf amatur negara yang sedang meningkat naik, Marcus Lim berjaya mengenepikan cabaran pemain-pemain profesional Malaysia sekaligus berjaya menjulang kejuaraan golf Supra Cup 2023 di The Mines Golf Resort pada petang ini.

Kejohanan yang berlangsung selama tiga hari itu menampilkan sejumlah 82 peserta dalam kategori lelaki yang turut disertai Galvin Green, Danny Chia dan juga Ervin Chang yang pernah menyumbang emas buat skuad golf negara di Sukan SEA pada tahun 2021.


Selepas beraksi tiga hari dengan bermain sebanyak 54 lubang, Marcus Lim akui dalam kejohanan kali ini beliau hanya mahu bermain untuk diri sendiri dan tidak menghiraukan barisan pemain profesional yang sudah menempa nama di peringkat antarabangsa.

“Saya hanya kekal fokus dan tidak mahu terlalu memikirkan pemain-pemain ternama disini selain saya tahu kebolehan sebenar diri saya dan jika saya bawa corak permainan sebenar mungkin saya boleh bersaing dengan pemain-pemain profesional,”

katanya.

Marcus yang tampil konsisten dalam beberapa siri kejohanan sebelum ini sekali lagi mengejutkan peminat sukan golf tanah air apabila mencipta sejarah sebagai pemain amatur yang memenangi kejohanan di peringkat nasional.

Selain itu, pemain berumur 21 tahun itu juga memberitahu bahawa beliau tiba di kejohanan Supra Cup ini dalam kondisi tubuh yang letih disebabkan sebelum ini di Singapura dia terpaksa menggalas beg peralatan golfnya sepanjang lima hari.

“Saya datang minggu ini dalam keadaan yang penat disebabkan terpaksa menggalas beg selama lima hari di Singapura kerana ketiadaan kedi.”

Dalam saingan terakhir sebentar tadi menyaksikan Marcus dan Ervin Chang berada di kedudukan seri dan perlu bermain di pusingan penentuan (Play-off) dan hasilnya Ervin menamatkan permainan dengan double bogey manakala Marcus mendapat par sekaligus menjuarai Supra Cup tahun ini.