Sebelum kejohanan penting, kita tak boleh buat banyak perubahan – Kim Pan-gon
Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Kim Pan-gon memberitahu bahawa beliau dan barisan kejurulatihan tidak akan membuat perubahan besar dalam pasukan menjelang kejohanan penting seperti Piala Asia 2023 yang akan berlangsung pada Januari 2024.
“Kita sudah memperkenal banyak pemain dan kesemua mereka berada dalam senarai kita, jadi kita tunggu dan lihat bagaimana samada.
Saya memang suka memperkenalkan pemain-pemain baru tapi sebelum kejohanan penting kita tidak boleh buat banyak perubahan,”
katanya.
Pan-gon bagaimanapun turut berkata sekiranya ada ruang dan peluang pastinya beliau akan cuba memperkenalkan pemain baru.
Beliau berkata demikian selepas selesai majlis undian Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2026 / Piala Asia 2027 yang berlangsung di AFC House, Bukit Jalil sebentar tadi.
Skuad negara telah diundi dalam Kumpulan D bersama Oman, Kyrgyzstan dan pemenang pusingan pertama di antara Chinese Taipei dan Timor Leste.
Dalam pada itu, beliau turut memberitahu skuad B-23 kendalian E. Elavarasan akan menghadapi kelayakan Piala Asia B-23 yang mana negara akan menghantar kesemua pemain terbaik.
Skuad Harimau Muda telah diundi dalam Kumpulan H bersama Thailand, Bangladesh dan Filipina yang akan berlangsung dari 6 September hingga 12 September 2023.