Kita pernah lawan Malaysia, tapi mereka kini jauh berbeza dari dulu – Walleed Al Noumani
Pengarah pasukan kebangsaan Oman, Walleed Al Noumani mengakui pasukan Malaysia kini adalah pasukan yang berbeza berbanding pasukan yang pernah mereka tentang sebelum ini.
Menurut Walled, beliau percaya setiap pasukan yang akan bersaing nanti akan membuat persiapan yang cukup rapi bagi memperoleh keputusan positif.
“Sudah semestinya mereka (Malaysia) sudah berbeza yang mana mereka sudah ada strategi baru. Ya memang kita pernah lawan dengan mereka tapi itu dahulu dan kini kami perlu ambil kira prestasi semasa mereka.
Saya juga yakin setiap pasukan yang bertanding akan membuat persiapan yang cukup rapi untuk memperoleh keputusan yang positif,”
katanya.
Beliau berkata demikian selepas undian Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2026 / Piala Asia 2027 yang berlangsung di AFC House, Bukit Jalil sebentar tadi.
Oman telah diundi dalam Kumpulan D bersama Malaysia, Kyrgyzstan dan Chinese Taipei atau Timor Leste.
Oman dan Malaysia akan bertemu pada 21 Mac dan 26 Mac 2024.