Dalam futsal tiada apa yang mustahil – Helio Neto

199

Pemain import tunggal Selangor TOT United, Helio Neto percaya bahawa kekalahan tempoh hari bukanlah titik penamat buat pasukan itu dapat melangkah ke perlawanan akhir Malaysia Premier Futsal League (MPFL) dengan mengalahkan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Ahad ini.

Beliau yakin pasukannya akan dapat mencari tiga jaringan gol awal walaupun bermain di tempat lawan untuk terus memberikan saingan kerana tiada apa yang mustahil bagi dirinya.


“Kita tahu di dalam futsal tiada apa yang mustahil dan kami mempercayai perkara itu,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau juga mengakui bahawa kehilangan konsentrasi yang menjadi punca pasukannya dibolosi sebelum ini hingga menyebabkan mereka tewas di laman sendiri walaupun sudah bermula dengan langkah kanan.

“Kami bermula dengan baik tetapi kehilangan konsentrasi melawan pasukan besar seperti JDT tidak boleh dilakukan jadi kami perlu lakukan lebih baik pada masa akan datang.”

Malah, sebagai satu-satunya pemain import dalam pasukan, beliau tidak merasakan bahawa beliau memikul beban yang besar kerana dengan latihan yang secukupnya beliau yakin dengan kerjasama dalam pasukannya.

Pemain dari Brazil itu juga yakin dengan kebolehannya pasukan Selangor TOT dengan rekod yang baik sebelum ini serta meyakini beliau boleh menyumbangkan sesuatu serta membantu pasukan semasa perlawanan separuh akhir nanti.

“Kami tahu kami boleh lakukan tetapi kami juga mengetahui bahawa ia tidak mudah.”

Baki dua hari lagi pasti akan digunakan dengan sebaiknya oleh pasukan Selangor TOT serta jurulatihnya untuk berlatih mempraktikkan corak permainan yang dapat membantu pasukan itu dapat melangkah ke peringkat akhir.