Ali Ebrahimi bukan satu-satunya pemain dalam Selangor MAC – Ridzwan Bakri
Pemain Pahang Rangers, Ridzwan Bakri tidak mahu fokus kepada Ali Ebrahimi yang digantung perlawanan dan beranggapan masih ramai pemain berpengalaman di Selangor MAC yang bakal memberi cabaran pada perlawanan separuh akhir kedua Malaysia Premier Futsal League (MPFL) 2023 esok.
Ridzwan yang ditemubual semasa sesi latihan terakhir Pahang Rangers sebelum bertemu Selangor MAC esok sememangnya mahu pasukannya lebih fokus dan tidak terlebih yakin memandangkan membawa kelebihan satu gol ke Shah Alam.
Ali Ebrahimi yang sudah menggegar gawang banyak pasukan di MPFL musim ini tidak dapat diturunkan pada perlawanan esok akibat dilayangkan kad merah dan Rizwan mahu rakan seperjuangannya kekal fokus kerana pemain Selangor MAC rata-rata mempunyai banyak pengalaman dalam kancah futsal tempatan.
“Kalau dia (Ali) tidak bermain ada ramai lagi pemain yang berpengalaman bermain, jadi kami satu pasukan supaya kami lebih fokus Ali ada atau tiada kita tetap akan kekalkan prestasi,
Kalau pendapat kami, kita tak boleh terlebih yakin kerana mereka juga ada peluang untuk menang, jadi kami kena kuatkan pertahanan dan bermain dengan terbaik,”
ujarnya.
Ridzwan yang berasal daripada Tawau, Sabah itu merupakan antara permata futsal negara yang sudah lama bertapak dalam arena ini dan kali ini dengan momentum yang ada pada pasukan Pahang Rangers beliau amat berharap untuk menjulang trofi kejuaraan MPFL musim ini.
“Dari dulu memang saya mahukan juara dan dengan momentum sekarang dan tiada halangan berkat usaha pasukan Pahang Rangers mudah-mudahan kami juara tahun ini.”